Thursday, September 30, 2004

Bila Mata 'Berpeluh'

09:16 AM
Tak tahu lah tajuk di atas tu sesuai ke tidak. Kelmarin dan semalam ada menulis juga tapi posting asyik hilang di tengah 'jalan'. Sabar saja la..

Semalam semua barang-barang aku(dibaca: manual kursus-kursus dan buku) telah dibawa pulang. Tak banyak mana pun.. adalah satu kotak sebesar monitor 14 inci, kotak tu HR yang kasi. Tak pernah-pernah letak kereta kat bawah KLCC, RM12.50 sehari.. bayar juga semalam. Senang nak tolak troli dan angkut kotak. Selalu aku letak kereta di sebelah Menara TA dan berada di seberang jalan. Terima kasih buat Bob, sebab teman ifa turun ke level P3 dan tolong angkatkan kotak besar tu.

Semalam pagi pula, aku sempat menonton wayang dengan Kak Irene. *me kacih belanja ifa* Kami tonton cerita 'Princess Diaries 2'. Terhibur juga rasa hati. Kami menonton tayangan jam 11.00 pagi setelah aku selesaikan urusan kewangan pertukaran jawatan dan tempat kerja dengan HR. Nasib baik panggung Kampung Emas Tanjung (TGV) tu terletak dibangunan yang sama. Seronok! Yelah menonton di kala tak ramai penonton lain, dan *wink* waktu pejabat. Kalau di pejabat pun aku & Kak Irene dah menopang dagu saja.
<09:35> Berhenti sekejap. Nak tolong Push burn data ke CD sebelum dia terbang ke Bintulu. Flight jam 2.00 petang nih. Good Luck, dear!! Will miss you.

10:37 AM
huh.. hmm.. *tarik nafas dalam*

Kadangkala memang bukan mudah nak mengawal perasaan, kan. Akhir-akhir ini ujian kawalan rasa memang sering melanda kehidupan ifa. Terutama rasa-rasa yang dipanggil sayu, pilu, syahdu, sedih, sendu yang seringkali menerbitkan rasa tak-sampai-hati dan serba-salah. Orang melihat ini adalah rasa yang negatif tetapi pada ifa, semua itu terpulang pada kita yang merasa dan mengawalnya. Perasaan sebegini boleh dijadikan positif seandainya kita melihat hikmah disebaliknya. Lebih-lebih lagi seperti dalam situasi ifa sekarang. Hanya beberapa hari saja yang tinggal untuk dihabiskan bersama. Rasa-rasa yang sebeitu terbit membuatkan ifa makin sayang dan makin menghargai kehadiran apa yg di sisi ifa selama ini. Membuatkan rasa ingin membahagiakan mereka tak kira lah, keluarga, sahabat handai mahupun rakan sekerja.

Pagi ini (sebentar tadi) saja mata ifa sudah 'berpeluh' atau dalam erti kata lain, terleleh air mata, bila seorang rakan sekerja yang sudah akrab dan sering berkongsi masalah, melampiaskan kegusaran hati beliau bila ifa tiada di sini. Hmm.. apa yang boleh ifa katakan pada beliau .. "huduhkan bila tengok muka sendiri cemek menahan tangis".

Cerita bab menangis ni, teringat masa kecil-kecil dahulu. Akulah JUARA! Sampai digelar 'ciwek' / 'gembeng'. Mana tidaknya, pantang dimarah, dipersalah atau disakat, pasti muka pantas saja mencebik dan airmata pun meleleh. Dah la mata ni pun sepet.. makin sepet la jadinya. Heheh.. *tergelak sendiri dibuatnya* Ifa pun tak tahu kenapa masa kecil dahulu kuat menangis. Mungkin itu saja penanda buat ayah-ibu merasa aku adalah anak perempuan. Yelah.. ifa ni anak ketiga (tapi perempuan sulung), kedua-dua yang di atas ifa, abang-abang.. dapat pula anak-anak jiran semuanya lelaki, rakan disekolah juga ramai lelaki. Kadang tu mereka ejek 'tomboy ciwek', lasak macam budak lelaki tapi kuat menangis. Tomboy kampung tak sama tomboy bandar. Ifa ingat lagi ifa mula cekal dan tabah (dibaca: tidak menangis lagi) bila ifa memasuki alam persekolahan menengah dan tinggal di asrama.

Bila cerita pasal sekolah, ifa jarang juga menangis di sekolah, tak kira la tadika atau sekolah rendah. Hanya di rumah saja rasanya lebih-lebih lagi bila dibuli (dibaca: disakat) dengan along dan angah, kadang kala ayah dan ibu pun join sama. Ifa benar-benar tidak menangis-nangis lagi bila masuk ke asrama, sebaliknya ibu dan ayah yang menangis. Waktu itu hairan juga tapi membiarkan saja ia berlalu. Pada ifa waktu itu, rasa gembira kerana dapat menikmati alam baru persekolahan menengah bersama kawan-kawan perempuan. Jauh dari keluarga memang bukan masalah dalam hidupku kerana padaku, keluarga senantiasa di hati dan ingatan ini. Kasihan juga bila melihat ibu dan ayah menangis. Ifa tahu, mereka sedih kerana anak yang sering menceriakan dan membantu keluarga ini sudah mula menerokai kehidupannya sendiri. Dalam usia 12 tahun itu, baru aku lebih mengerti makna tabah, sabar, bijak, kuat, teguh, berdikari yang sebenar. Minggu-minggu awal di asrama, kawan-kawan sebaya menangis mohon pulang, aku tidak, sebaliknya ibu yang menangis memohon aku pulang. Aku pulang semata-mata kerna tidak mahu melihat airmata ibu lagi. Bila suatu waktu aku tidak dapat pulang, aku akan menghabiskan syiling untuk berbual berjam-jam dengan ibuayah di pondok telefon awam.

Kadangkala, kita memang perlu menangis. Tidak kira lelaki atau perempuan. Sekadar melepaskan rasa yang menyesak dada. Tangisan terkawal adalah tangisan yang mahal, bukan mengongoi macam si Iqa, adik bongsu ku yang dah lebih besar dari aku, bila keras kepala tidak mahu membantu kerja rumah.

Mana datangnya istilah 'mata berpeluh'? Hmm.. itu adalah jawapan yang aku beri suatu waktu dulu, bila ada kawan terlihat aku menangis dan bertanyakan mengapa. Oleh kerana aku tidak mahu dia sedih sama, aku pun menjawab "takde apa-apa, cuma mata berpeluh" dan tak disangka dia ketawa kelucuan mendengar istilah baru itu. Lantas melihat wajah ceria begitu membuatkan aku pun tersenyum kembali dan turut ketawa sama hingga secara automatis rasa sedih yang menyelubungi diri kala itu hilang sendiri terselimut gembira yang dirasa. Teringat lagi kami bertekak juga mengenainya selepas itu

"Kenapa mata berpeluh? Bukan ke ko tengah menangis tadi?"
"Yelah.. mata aku berpeluh la. Bukan ke mata aku keluarkan air..sama macam roma-roma kulit kita keluarkan air dan ko panggil peluh.. kan"
"itu lain.. kalau kulit... berpeluh, mata..menangis, habis tu kalau air keluar dari hidung tu apa?"
"ohh.. itu tandanya, masakan yang aku makan tu sedap sangat.. buat hidung aku menangis.. ekekekke "
"hehehhe.. ada-ada saja lah ko ni, aliph!"


<11:37> Berhenti lagi. Nak lepak kat tempat Bob sekejap, nak menghabiskan teh dalam cawan ifa yang dah sejuk di situ. Esok, dah nak gi Kuantan buat 'familiarization visit', tengok opis baru dan cari rumah sewa. Entah bila lagi aku boleh menyakat Bob.

Tuesday, September 28, 2004

Dedikasi DCCR & BKSE

SELAMAT ULANGTAHUN buat blog
DCCR(23/9) & BKSE(28/9)
Apa menariknya kedua-dua blog ini?


Di Celah- Celah Renunganku - oleh Bob


Blog ini asalnya direka-mula dengan nama asal "The Cronicle Bode of BOB's Board" yang lebih ke arah Lembaran Kisah Menyusur Kehidupan Bob. Kredit buat Blogspot kerana memudahkan cara untuk memulakan sebuah blog. Berlatarbelakangkan warna hitam dan ungu, pohon kelapa di jeti yang kosong menghala laut.. sungguh indah sekali. Penulisan Bob banyak berkisar mengenai makanan yang menggamit kenangan lampau disulamkan dengan nasihat dan iktibar. Kadang kala tercuit dengan kesah-kisah lucu yang cukup menghiburkan. Bila Bob menulis mengenai makanan, selalunya disertakan resepi dan tatacara masakan tersebut. Pengolahan cerita Bob selalunya menerbitkan rasa yang ketara buat pembaca terutama tatkala dibaca di bulan puasa tahun lalu, hinggakan ada antara rerakan seperti Serial-Commentor, Maria, Ain & beberapa lagi yang mem'banned' dari membaca blog Bob dikala berpuasa. Namun, apa yang Ifa lihat, mereka tergoda juga untuk membacanya. Oleh kerana terdapat beberapa kekangan dari pihak pentadbir internet di pejabat, maka Ifa pun pindahkan blog Bob ke Blogdrive. Lebih mudah kerana ruang komen dan chat yang tersedia-ada.

Mulai awal tahun 2004, maka blog Bob dikenali sebagai "Di Celah- Celah Renunganku" (DCCR). Dengan latarbelakang yang sudah bertukar ke hijau lumut dan kuning cair, sejuk mata memandang. Kini, Bob menulis bukan sahaja mengenai masakan/makanan yang menggamit kenangan, namun diselang-seli dengan permainan lama, lagu/musik dan banyak lagi. Kalau ingin tahu apa isinya, perlu lah melawat sendiri laman blog ini.

Black Kembara Sp. Ed.- oleh Kak Wynn


Mesti Kak Irene masih ingat gambar "kufu-kufu" biru ni. Inilah skin pertama yang digunakan buat Black Kembara Special Edition (BKSE) ini. Mula-mula Ifa yang maintain blog tersebut tetapi, semakin lama, Kak Irene sudah mahir monitor blog sediri. Sayangnya, ramai yang bermasalah dan akhirnya, blog BKSE ini juga turut bertukar rupa.

Kupu-kupu indah telah bertukar menjadi si jelita 'Arwen', gadis pujaan dalam filem Lord Of The Rings. Semakin rancak penulisan Kak Irene yang banyak berkisar rutin seharian dan kata-kata semangat yang dikongsi bersama. Rangkaian persahabatan juga makin meluas bila adanya sesi makan-makan dan disambung dengan berchatting maupun sms. Bila Bob bertukar rumah, Kak Irene pun sama berpindah. Semua gara-gara kekangan yang ada.

Di laman BKSE yang baru, lebih ramai yang menyapa dan makin rajin Kak Irene menulis. Berkongsi kisah seharian yang akhirnya bertemu kekasih hati. Ifa doakan moga hasrat dan impian untuk berumahtangga kembali akan tercapai jua nanti.



Dedikasi DCCR & BKSE

DCCR & BKSE
Walau usiamu masih bayi
kau beri erti tersendiri
senyum kecilmu

meriangkan hati lara
keletahmu
mengubat hati sepi

DCCR & BKSE
walau kau masih bayi
asuhan penulismu tetap rapi
malah diulit setiap hari
membuat ramai yang menanti
bercanda menampi satu erti

DCCR & BKSE
rintihanmu halus sekali
namun masih disadari
membangkit diri
manusiawi
melihat alam penuh misteri
meluas pandangan minda tak terhenti
biar melaut tidak bertepi
kau tetap di sisi

DCCR & BKSE
alam maya ruang bicara
menerbit suka duka bersama
melorek kisah menerbit rasa
bukan mudah menempuh nyata
kau bukti,
muda tapi berisi.

DCCR & BKSE
Selamat Ulangtahun Pertama
Terima Kasih Mewarnai Alam ini!


Ifa Alyana
Menara Satu, KLCC
28 September 2004



ifaalyana: Tulisan ini sempat ku taipkan kerana staff HR di tingkat 54, hampir semua diserang diarrhea, gara-gara makan rendang yang dihidangkan semasa jamuan sarapan semalam.. Kesian dxit. Kesian juga aku, lambat sikit nampaknya urusan kewangan aku utk perpindahan nanti selesai.

Monday, September 27, 2004

Akan ku rindu..

Sayu masih berlubuk di hati bila menatap foto dari menara ini.


Akan ku rindu melihat pemandangan seindah ini.

1 Oktober 2004 seharusnya aku melapor diri di Gebeng, Kuantan.. namun lega lagi bila kotak Lotusmail ku di pejabat ini mengkhabarkan kelulusan penangguhan tarikh lapor diri ke 11 Oktober. Masih banyak urusan yang perlu dibereskan.

Semoga Allah mempermudahan urusanku. ~amin.

ifaalyana: Oleh demikian, blog ini akan ditulis lagi bila keadaan sudah kembali stabil. Insyaallah. Panjang umur.. kita jumpa lagi.

Friday, September 24, 2004

Makin Jauh Makin Sayang?

Wah.. benar jauh buat bro Idham AKMA bekerja.. mungkin benar buatmu.. kalau tak, takkan sampai termimpi si kecil Humaira' dan bondanya.. amukan rindu sudah melanda, heheh..

Aku?
Mungkin kah juga makin ramai yg sayang bila ifa pula berjauhan dari kota batu dan menara kembar ini.. banyak hikmah disebaliknya barangkali..

Pastinya.. titisan airmata ibu yg paling sayu ku rasa saat ini , belum bertambah wajah sendu sahabat karibku Nd yang kan merasai rutin baru tanpa aku..

Hati agak sedikit lega bila sayup di corong telefon, nada suara ibu ku bagai sudah redha dan merestu. .. dan, Nd juga meniupkan semangatnya buat bekalan ku.

Pemergian ini bukan meninggalkan.. bukan juga 'Sentuhan Kecundang'.. sebaliknya buat meneruskan laluan perjalanan hidupku. Moga benar bak kata pujangga..
"semakin jauh semakin sayang"

ifaalyana: Terima kasih yg tak terhingga buat teman-teman yang meninggalkan pesanan dan kata semangat. I love u all! :))

Wednesday, September 22, 2004

Mohon Segugus Doa

Semalam berlalu pergi dengan pelbagai perasaan yang berkecamuk. Hari ini ku gagahkan juga untuk menulis sedikit walaupun ketenteraman itu masih sayup.

Ketenteraman hati mula tergugah bila pagi semalam, aku mencari kepastian dari khabar angin yang bertiup ditelingaku. Aku call HR-HQ yang temuduga aku minggu lepas. Aku memang takde rezeki di situ, alasannya, post tu seeding sedangkan ada OPU (operating unit aka subsidiary company) dah ambil aku sebagai pekerja baru mereka.

HR : Maaflah ye Alifah, OPU dah ambil you. Lagipun post kat sana permanent. Boleh semak dari redeployment staf, cik Az.
Aku: Terima kasih Sh.

-----

Aku: Salam Az. Saya Alifah dari level 61. Saya dapat tahu, nama saya dah ada OPU ambil. Betul ke?
Az: Hmm.. mana dapat tahu nih? hish.. awak nih..

Aku: Dari HR la. Ala.. cakap ajelah. Dengar kata ke luar KL. Betul ke?
Az: Ok la. Betul tu. Tapi surat awak cuma akan dicetak 1/10/04. Saya dah cakap kat OPU yang awak perlu 2 minggu. Yelah .. nak cari rumah sewa dan urusan perpindahan. Macam ni la.. apa kata awak ambil no telefon bakal bos awak nih. 8-xxx-xxxx. Awak minta lah daripada dia yang awak boleh report duty bila. OK.

Aku : *tergenang air mata tiba-tiba dan menarik nafas panjang sebelum berkata* Apa tugas saya ya?
Az: HR. ok ye.

Aku termangu.. antara gembira mendapat kerja baru dengan sedih+risau bila memikirkan ayahanda, bonda dan nenda di rumah, juga sahabat baikku .. Nd.

-----

Lama juga aku terdiam. Nak pitam pun ada.

Khabar itu aku sampaikan pada Nd yang sedang bertugas di Kuala Terengganu semalam. Terpempan juga dia mendengar khabar. Kemudian.. lancar saja jari ku menaip di ruangan chat sametime di pejabat ku ini untuk dikhabarkan pada Ina, Yong, Aish, Bob dan beberapa yang lain.

Cuma.. khabar ini masih ku simpan dari pendengaran ibu ku. Nanti bila dah dapat surat, baru aku khabar kan. Aku harap langkah ku ini tidak kan tersadung.

"alang-alang mandi.. biar basah", begitu juga aku.

Petang semalam, aku kuatkan semangat untuk terus mencuba dalam mencari peluang untuk terus berkhidmat di Menara Satu ini. Aku temui En Rf dari GBU. Sayangnya tugas jawatan kosong itu bukan menjadi minat dan kecenderungan ku. Keyakinanku dan pengalamanku tiada untuk tugas itu. Lantas buat menenangkan hati, aku menziarahi Maria di level 10. Ada lagi satu peluang.. lalu ku serahkan CV ku di situ. Esok akan cuba ku jejaki tindakan lanjutnya. Jika memang bukan rezeki ku lagi di kotaraya ini, ku redha untuk meneruskan perjuangan di bumi yang lain.

Lantas..

saat ini.. ku mohon padaNya.. mohon kalian mendoakan ku juga

Ya Rahman Ya Rahiim,
Ampunilah dosa-dosaku, kedua ibubapaku,
kaum keluargaku
dan sahabat2ku
Sesungguhnya hanya Kau Maha Pengampun

Ya Lathiff,
Kau lah Maha Segalanya..
dengan 99 asmaul husna yang begitu indah
Ya ALLAH

Ya Ilahi..
Andai memang ini yang Kau pilihkan buat aku
Andai memang ini yang lebih baik buatku
.. lebih baik untuk
kemashlahatan keluarga ku
.. lebih baik buat dunia dan ukhrawiku
Permudahkan lah Ya ALLAH..
Peliharalah mereka yang akan ku
tinggalkan nanti

Ku mohon padaMu
agar, Kau sembuhkan sakit-sakit yang menimpa
ayahbondaku
agar, Kau bukakan pintu hati
abang-abang dan adik-adikku
agar, Kau makbulkan permintaan
teman-temanku

agar, Kau beri kejayaan di fana ini
dan hari esok nanti
... buat semua yang menyayangiku dan aku sayangi
Ku mohon benar-benar padaMu Ya Khaliq, Ya Ghafur
.. benar-benar ku mohon..

*amin*



ifaalyana: ibu ku semakin sembuh dan malam ini aku harus menuam badannya lagi. :) terima kasih buat teman yang menelefon bertanya khabar.

Monday, September 20, 2004

Merisik & Melamar - Bahagian II

Perbualan ini bukan lamaran mengenai jodoh teman sepenghidupan, tetapi.. jodoh kerjaya penerus kehidupan..

Jumaat lepas..
Si A : Ifa, dah ada yang melamar?
Aku : Emm.. belum ada apa2 lagi nampaknya. Majlis risikan dah banyak kali juga pergi.

Di waktu pagi Isnin tadi..
Si B : Ifa, B rasa ifa dah tahu kan. Mr Gn dr CAU dah call ko tak?
Aku : *senyum* TAHNIAH! ifa tahu Mr Gn dah call ifa last week. Bukan rezeki ifa.
Si B : So, ko dengan HR macammana?
Aku : Entahlah. Ada lah nanti tu..
(Tidak lama selepas itu, 5 orang staff dari CAU datang membantu B memindahkan barang-barang B, komputer, almari kabinet dan dua buah drawer. Yelah, B sedang mengandung 6 bulan.. rezeki anaknya barangkali. Sebelum ini aku dan B memang seringkali menghadiri sesi temuduga yang sama.)

Sebelum aku turun makan tengah hari..
Si C : Ifa, ada khabar kata HR pun susah nak ambil ko, sbb dah ada OPU lain yang book nama ko.
Aku : Hmm?? *terkejut*
Si C : Mana tahu ko ada pergi interview dan diorang dah ambil nama ko.
Aku : Siapa pula ye? Setahu aku.. semua dah bagi keputusan kecuali PDB. PDB kot?
Si C : So, macam mana?
Aku : hmmm....

Aku bingung sekejap.

BINGUNG bukan kerana tiada kerja (bingung juga sebenarnya), tetapi lebih kepada hairan sebenarnya, bagaimana ya cara mereka bekerja/berurusan dan berkomunikasi.

Ini sudah seperti kes macam nak cari jodoh siapa bakal isteri. Kalau nak diperumpamakan macam itu pun, aku rasa tidak lah seteruk ini. Okey, mana taknya cuba bayangkan...

Senario:
Si dara sudah lalui beberapa majlis risik-merisik. Selalunya lebih kurang seminggu, si dara sudah tahu kisah selanjutnya, sama ada pihak teruna mahu menghantar lamaran atau tidak. Dan kini.. bila si dara belum lagi menerima lamaran dari mana-mana pihak, tiba-tiba muncul pula khabar berita bahawa si polan X tidak boleh melamar si dara, gara-gara nama si dara sudah dilamar oleh si polan Y. Memang la kalau ikut adat merisik dan melamar yang betul, jika si dara sudah dilamar seseorang, yang lain mesti menanti giliran, sama ada si dara menerima lamaran atau tidak, jika tidak maka lamaran seterusnya baru masuk barisan. Ini tidak.. si dara pun tak tahu siapa yang dah melamar, tiba-tiba yang lain bagai ditegah untuk melamar.

Hmmm.. macam mana tu?

ifaalyana : tawakkal 'alallah.. adalah hikmahnya tu nanti kan ..


17:00 PM

Tenne net.. tenne net * bunyi telefon di mejaku berbunyi dan nombor telefon rumahku tertera*

Aku : Assalamualaikum... ibu ke tu?
Ibu : Kakak.. emm, wa'alaikumussalam..

Aku : Ada apa bu? Kenapa suara ibu macam tu?
Ibu : Kakak.. belakang badan ibu tiba-tiba sakit. Tadi tengah masak tiba-tiba macam tak boleh nak bergerak (pusingkan badan).

*darah aku dah seriau.. risau .. degupan jantung pun mula laju*
Aku : Ibu OK lagi tak ni? Ifa balik bawa ibu ke klinik ye? Ibu dah makan pil hari tu?
Ibu : Tak payah lah. Ayah dah kasi ubat. Ibu tengah makan ubat yang ayah bagi.

Aku : Ibu jangan buat apa-apa kerja lagi. Rehat. Biar je yang kat dapur tu.. baik ibu baring je. Malam ni sebenarnya kakak ada kelas mengaji, tapi kalau macam ni, ifa tak pergi la.
Ibu : Ibu tadi solat pun duduk kat kerusi aje. Ibu tau kakak ada kelas. Ibu .. ibu.. *suara ibu makin sayu*
Aku : Dah la.. ibu jangan nangis ye.. lepas nih, terus baring tau. Sapu minyak panas dulu. Nanti ifa balik.. bawa ibu pergi urut ke.. mana yang elok nanti eh..

Ibu : OK.. Assalamualaikum.
Aku : Walaikumussalam.

Perbualan itu membuatkan hatiku tidak tenteram.. dan selepas ini aku mahu terus pulang ke rumah. Moga-moga cepatlah perjalananku hari ini amin.

Sunday, September 19, 2004

Wajah Ibu

Jumaat lepas, aku tiba agak awal juga dari biasa walaupun aku sempat bersama Dxit, Fashah dan Aish minum teh tarik di warung tingkat 4. Setibanya aku di rumah, tanpa sempat aku mematikan enjin kereta, wajah sayu ibu sudah menyapa di muka pintu. Dari wajahnya, aku tahu yang ibu mahu aku menghantarnya ke rumah seorang teman. Walau agak letih memandu dari KLCC ke Klang yang memang tak pernah kalah sesaknya, aku turutkan juga. Jauh tak jauh, dekat tak dekat juga rumah kawan ibu itu. Aku hanya menanti dalam kereta kerana ibu suruh lagipun aku rasa letih sampai sempat juga terlena beberapa minit. Lepas itu, aku menemani ibu ke pasar malam di kampungku. Ayah menginginkan jantung pisang rebus untuk di makan siang esok. Membeli beberapa barang dapur yang telah kehabisan dan tidak ketinggalan aku sempat singgah menjenguk Mak Dah (mak angkat) aku di rumahnya yang berhampiran dengan pasar malam.

Aku membersihkan diri dan solat di kala hari sudah hampir berganti hari. Hasrat untuk terus tidur terbantut bila melihat wajah sayu ibu lagi. Aku menjenguk ke dapur melihat masakan ibu petang Jumaat itu. Bila melihat aku mula mengambil pinggan dan menceduk nasi yang telah diperangat dalam periuk elektrik dan di campur dengan sedikit lauk lemak nangka, wajah ibu manis kembali. Sambil aku makan, ibu bercerita macam-macam. Aku senyum... terbantut la hasrat ku untuk tidak makan di tengah malam.. heheh.. tak mengapa asal ibu senang hati.

Sabtu yang menunjukkan diri semalam, hanya berkisar dengan wajah ibu juga. Wajah yang sudah semakin tua, yang menyimpan berjuta kisah suka duka 57 tahun yang dilaluinya. Entahlah. Aku senang kalah dengan rasa tatkala menatap wajah kesayanganku itu. Seorang ibu pada 7 orang anaknya yang mempunyai kisah masing-masing yang selalu menguji kesabaran dan ketabahannya. Wajah seorang ibu yang juga anak saudara kepada Mbah (nenek) ku yang telah membelanya sejak kelahirannya di dunia setelah pemergian bondanya tercinta, wajah yang sentiasa sabar melayani Mbahku yang sudah hampir 100 tahun usia dan terbatas penglihatannya. Itu belum lagi ditambah dengan wajah ibu tatkala menatapi wajah ayahku, suami yang telah menikahinya 33 tahun yang lalu. Arghh!... bergenang airmataku.

Demi wajah itu, hujung minggu ku kali ini aku peruntukkan buatnya. Sejak Sabtu pagi, aku sudah membantunya, membersihkan laman belakang yang sudah tinggi semaknya. Tidak sampai hati aku membiarkan ibu berseorangan terconggeng-conggeng mencabut pokok-pokok renek setinggi betis yang sudah melata. Sambil tangan masing-masing ligat bekerja, mulut juga tak henti bercerita. Berbual-bual dengan ibu lagi.. bercerita tentang macam-macam lagi. Aku menadah telinga saja. Mendengar cerita ibu, membuatkan aku bersyukur dengan kejadianku di dunia ini.. jika aku tiada, pada siapa ibu bercerita ye? Syukur Ya Allah!!

Kisah Sabtu masih bersambung ke petang hari bila aku melihat ibu sudah terbaring penat. Sempat juga ku picit-picitkan kakinya sambil aku bertanya macam-macam. Tapi bila ibu diam, aku pun tidak mahu mengganggu tidurnya. Aku kembali berehat juga. Sejam kemudian ibu mengajak aku menyediakan makan malam. Aku membantu ibu memasak asam rebus batang keladi. Sememangnya masakan air tangan ibu juga yang sedap. Senyum ibu meleret bila aku makan bertambah. Hehhe.. makin berisi la anakandanya ni. Panggilan telefon Kak Irene petang itu yang ingin mengajakku menonton Dejavu juga ku tolak lembut (walaupun aku sendiri memang sudha lama menginginkannya), semata-mata kerna wajah seorang ibu ku. Lepas Maghrib aku dikejutkan lagi dengan panggilan telefon dari Nd, aku terlupa untuk ke kelas mengaji di Masjid Bukit Aman malam itu. Hmm.. maafkan ifa ye, Nd! Kelas petang Senin esok ifa pergi!

Pagi tadi selepas solat Subuh, hasrat untuk membawa ibu ke pasar borong di Meru ku batalkan kerana ku dengar suara ibu khusyuk mengaji. Aku isikan masa dengan mengemas bilik ku yang makin bersepah. Bila hari sudah cerah, aku bersiap dan menjenguk ibu di laman belakang, katanya ingin mengemaskan enau yang melingkar di pokok-pokok tebu yang tumbuh bersimpang-siur itu. Bila aku mengajaknya ke pasar pagi Ahad yang ada di kampungku, pantas saja ibu terus menyarungkan kain tudungnya. Lama juga aku tak bersama ibu ke pasar pagi. Seronok bila berjalan berdua bersama ibu... mengingatkan aku entah sampai bila boleh aku begitu bersamanya. Kami singgah ke gerai Uncle Apek, seorang penjual barang-barang kering seperti bawang, kentang dan bilis, yang telah meniaga di pasar malam/pagi sejak aku masih kecil lagi. Kini, anak Uncle Apek pun sudah seusia aku, malah kini anak beliau pula sudah mula menjual ikan-ikan segar. Aku hanya tersenyum bila Uncle Apek menanyakan bila aku nak ajak dia makan kenduri. Ibu membeli ikan gelama, ikan sardin dan sotong. Kawan ibu yang menjual ayam memberi hampir 4 kilo kaki dan kepala ayam. Pulang ke rumah terus masuk ke dapur kerana ikan/sotong/kaki ayam perlu disiang. Hasrat ibu untuk meneruskan kerjanya terhenti kerana hari hujan.

Sebentar tadi.. aku meneman ibu dan ayah menonton TV. Sambil itu, aku dan ibu melayan ayah berbual-bual. Bahagia bila bersama mereka berdua, tapi mengapa adik-beradikku yang lain sering tidak begitu mengendahkan mereka?

Saat ini, aku mampu tersenyum sendiri... tersenyum mengingatkan senyuman ayah dan ibu yang kegelian hati bila melayan kerenahku tadi, yang sibuk usik-mengusik mereka. Ku tinggalkan ibu dan ayah yang masih berbual di luar dengan hangat ciuman hormat di tangan mereka berdua dan pipi mereka. "Rabbana 'aatina fiddunya hasanah wafil aakhirati hasanah waqina 'azabannar.. amin "

Moga wajah ibu tua ku itu.. tetap segar dan tersenyum manis selalu.

ifaalyana : Ibu.. ifa sayang ibu!.. ayah juga!

Friday, September 17, 2004

Getaran Jiwa

"Getaran jiwa
Melanda hatiku
Tersusun nada
Irama dan lagu

Walau hanya sederhana
Tetapi tak mengapa
Moga dapat membangkitkan
Sedarlah kamu wahai insan

Tak mungkin hilang
Irama dan lagu
Bagaikan kembang
Sentiasa bermadu

Andai dipisah
Lagu dan irama
Lemah tiada berjiwa
Hampa...."

P. Ramlee - Getaran Jiwa -


Memang kuasa getaran jiwa ni berkuasa. Bak irama dan lagu yang sudah tidak boleh dipisahkan. Dulu ada beberapa kali Bob DCCR mengatakan yang aku dah DAP (dalam alam percintaan) bila menulis mengenai perasaan .. sayang.. rindu.

Aku tak pula menuntut di mana-mana mengenai ilmu getaran, tapi aku ada membaca (tidak pula ingat di mana).. bahawa memang getaran ada kuasanya tersendiri. Mungkin dalam komik-komik getaran-getaran ini dilukiskan sebagai aura berwarna-warni. Ada yg berkata, aura ini adalan lapisan halus tubuh, ada yang kata bagai sinaran. Mungkin juga ada yg menganggap aura ini sebagai pesona. Yang pastinya, pada aku.. aura ini amat subjektif seperti bila kita mengistilahkan apa itu cinta dan pada aku, aura juga boleh ditafsirkan sebadai satu getaran halus seperti getaran jiwa.

Dulu aku pernah menulis tentang rindu. Betapa kuatnya getaran rindu itu sampai orang yang dirindu boleh merasai kerinduan pada yang merindu. Rindu menerbitkan segala perbuatan atau perlakuan yang tak dijangka atau lebih senang dengan menggunakan imbuhan 'ter'. Maka, bila getaran itu selari.. maka baru ada pertemuannya. Ibarat waktu Ain tiba-tiba ayik termimpi atau teringat pada aku, aku pula setelah sekian lama menjenguk laman Ain, tiba-tiba terconteng ruangan pesanan di laman Ain.

Begitu juga bila membaca kisah Bob "Pertemuan Rahmat Di Malam Jumaat" di DCCR nya. Bagaimana sejak akhir-akhir ini beliau seringkali menulis mengenai teman-teman rapatnya waktu sekolah dahulu, alih-alih mendapat panggilan telefon dan bertemu jua akhirnya walau pada awalnya beliau tidak begitu mengendahkan pesanan sahabat lama.

Bagaimana dengan anda? Pernah merasainya? Pada penelitian aku, getaran jiwa ini akan makin kuat kuasanya seandainya keakraban antara dua pihak itu sudah terjalin, tidak kira berapa lama jangkawaktu nya. Antara kita dengan ahli keluarga, sahabat handai, binatang peliharaan/tanaman.. malah semulianya getaran paling indah adalah apabila kita benar-benar akrab dengan Maha Pencipta.

ifaalyana: tiba-tiba teringat lagu cik siti nurhaliza.. "Bukan Cinta Biasa"

Thursday, September 16, 2004

Ayah Di Dapur

Tiba-tiba jari nih lancar saja menaip, selepas membaca cerita Bob DCCR pasal Daun Kesum, yang juga membawa ke cerita arwah adiknya, laksa penang, anak daranya Ayu dan beberapa nasihat yang mencelikkan mata hati yang mengantuk. Lebih molek kalau kisah Bob ini dibaca sendiri, bak umpama untuk kita tahu sedapnya kuah laksa mana kan sama dengan dihirup oleh mulut orang lain.

Bertuah rasanya Ayu kerana mempunyai ayah yang tahu masak-memasak. Aku pun berbangga mempunyai seorang ayah yang walau tak semahir Bob, tapi sudi berkongsi ilmu dan mengajarkan anak daranya ini memasak. Ayah aku seorang yang simple dan tak banyak kerenah sangat serta amat penyabar orangnya. Selalunya memang ibu aku yang masak-memasak. Walaupun ibu yang selalu masak, aku memang dimestikan membantu sejak aku kecil lagi, lebih-lebih lagi bila aku adalah anak perempuan pertama dan waktu itu memang aku satu-satunya anak perempuan mereka. Adik perempuanku hanya hadir selepas 9 tahun aku dilahirkan.

Ayah aku ringan tulang membantu ibu menjerang air, mencuci pinggan yang digunakannya dan juga membelikan bahan-bahan masakan di pasar basah di bandar Klang. Pada dirinya, apalah nilai seorang lelaki jika tidak mampu menyenangkan hati isteri sendiri. Cuma memang kelihatan ayah agak kekok bila tiba bab dapur. Mana tidaknya, ayah anak sulung dalam keluarganya dan telah merantau sejak usia muda, maka amat jarang mempunyai masa membantu nenekku di dapur.

Teringat aku pada ketika ayah mengajar aku memasak. Resepi mudah dan menjadi kegemaran adik-adikku dan sahabat karibku Nd.. Ikan Sardin Masak Tumis. Waktu itu, ibu masih dalam pantang setelah melahirkan adikku yang ke-6. Ayah sudah menanak nasi dan menjerang air tatkala aku baru pulang dari sekolah rendah. Selepas melucutkan pakaian sekolah dan menyarungkan pakaian harian rumahku, aku terus masuk ke dapur kerana berasa amat lapar. Aku lihat ada satu tin besar ikan sardin bersos tomato telah siap dibuka. Di atas papan pemotong telah siap hirisan bawang merah, bawang putih, sedikit halia dan cili hijau/merah. Juga, terdapat segeluk air asam jawa di atas meja. Bila aku tanya, ayah cuma menjawab,
"Hari ni, ayah ajar kakak masak ikan sardin dari dalam tin. Ini aje antara masakan yang ayah tahu dan senang di masak tapi juga sedap dimakan. Kakak tengok dulu, lain kali kakak buatlah sendiri".

Jadi, aku pun berdua-duaan dengan ayah di dapur. Bukan apa, aku melihat dan membantu menghulurkan apa saja bahan yang dipinta oleh ayah. Mula-mula ayah tenggekkan kuali di atas dapur dan dibubuh sedikit minyak masak. Setelah agak panas, ayah tumiskan halia, bawang putih, bawang merah dan cili, yang sesemuanya ayah masukkan satu persatu setelah masing-masing naik bau. Selepas itu, ayah masukkan kuah sos dari dalam tin sardin dan ditambah sedikit sos cili sebagai perasa. Bila kuah dah mula mereneh, ayah masukkan pula ikan sardin tersebut dan ditambah pula dengan segeluk air asam jawa yang telah diasingkan hampas dan bijinya sebagai penghilang rasa hanyir. Bila makin kuat kuah merenih, ayah masukkan pula sedikit garam dan secubit gula. Setelah digaul sekali-sekala, ayah tambahkan bawang merah yang telah dimayang kasar supaya rasa lauk itu lebih manis. Bila layu saja bawang merah tadi, ayah pun menutup api dapur gas dan aku lah yang menyenduk lauk dari kuali ke dalam mangkuk untuk dihidangkan.

Kami makan lauk sardin tumis itu bersama nasi panas dan ditemankan dengan sambal belacan serta ulam-ulaman seperti daun selom, daun pegaga dan kacang botol. Dapat pula ayah yang menyediakan teh 'o panas. Berpeluh-peluh kami makan dan masih ingat lagi ayah tersenyum bila aku sendukkan nasi tambah ke pinggannya.

Aku hanya mempraktikkan ilmu masakan ayah ini buat pertama kalinya tatkala aku ditinggalkan keseorangan di rumah, sewaktu seluruh keluargaku ke Indonesia menziarahi datuk dan mbah putri pada usiaku 15 tahun. Dan di saat itulah, aku baru mula cuba untuk memasak di dapur.


Paling aku suka masakan air tangan ayah adalah bila beliau menanak nasi. Hingga ke hari ini, kalau ayah yang menanak nasi, memang bertambahlah aku makan. Kalau dulu hanya ditanak di atas dapur hinggalah sekarang ditanak menggunakan 'rice cooker'. Manakala pernah juga beberapa kali aku masakkan masakan sardin ini di waktu malam selepas aku tiba dari pejabat. Selalunya bila ayah mengadu masih lapar dan lauk yang ibu masak telah habis. Aku memilih resepi ini kerana ia memang cepat, mudah dan sedap. Kadang kala aku pelbagaikan dengan mencampurkan kentang goreng yang dipotong dadu beserta beberapa sudu kicap manis cap kipas udang.

Seronok bila mengingatkan kembali memori itu. Itulah kali pertama dan terakhir aku belajar memasak dengan ayahku. Alhamdulillah ayah masih ada bersamaku walaupun kesihatannya agak menurun. Semoga umurnya dipanjangkanNya dan aku boleh berbakti lagi pada ayah. Amin..

Kalau dulu-dulu, pernah suatu waktu aku membenci ayah, tapi kini sayangku padanya semakin melaut. Siapalah aku tanpa dirinya. Di usianya yang semakin senja aku doakan moga ayah berbahagia menjalani kehidupan bersama aku.

Pada mereka yang telah kehilangan ayah, jangan bersedih, senyumlah kerana Allah lebih menyayangi ayah kalian. Selalulah mendokan ibubapa kita dalam setiap solat terutama selepas wirid dan zikir. Sesungguhnya hanya itu bekalan penyuluh hidup mereka di alam barzakh (selain harta yang berguna, ilmu yg bermanfaat) dan pastinya mereka akan tersenyum dan berbangga memiliki doa anak-anak yang soleh/solehah.

ifaalyana :
>>> Teringat memori ikan sardin di bulan puasa semasa di universiti dulu. Aku tinggal sebilik dengan Nd, kami bersahur berlaukkan sardin. Nd makan sahur sambil tutup mata dan selesai makan sambung balik tidurnya. Bila azan Subuh berkumandang, Nd terus melompat dari katil sambil menggosok mata dan marah+sedih mengatakan yang aku tak mengejutkan dia bersahur. Padahal, bukan setakat dia dah bersahur, malah bertambah nasi hingga dua pinggan.. hehehe.. itulah penangan masa puasa. Lain kali, makan jangan tutup mata ye!.
>>> Hari ini dah 1 Sya'ban 1425H, dah habis ganti puasa Ramadan 1424H?

Wednesday, September 15, 2004

Sesi Risik Merisik

08:21 am
Sekejap lagi, aku akan hadiri sesi temuduga di Level 54, Jabatan Sumber Manusia. Jam 8.30 pagi di meja Pn Mn bersama beberapa orang staff lain. Apa agaknya isi cerita ya? Aku nak ucapkan terima kasih buat sahabatku yg seorang ini, Dxit sebab membantu aku kat situ. Thx ya, Na.

Ok la.. 6 minit lagi aku nak turun. Aku berhenti dulu kat sini.. nanti aku sambung lagi. Aku akan kongsi cerita sesi risik-merisik yang sebelum ini aku hadiri. OK

Semoga aku berjaya!
*bosan bila nama saja bekerja tapi tak buat kerja dalam erti kata sebenar*


11:25 am
Seronok juga sesi risik-merisik pagi tadi kat Level 54 tu. Tidaklah begitu lama, cuma lebih kurang 45 minit sahaja. Mereka ramah dan menerangkan dengan jelas situasi pekerjaan yang diperlukan. Aku tidak pula rasa gementar, tak macam suatu waktu dulu masa pertama kali aku menghadiri sesi seumpamanya hampir 9 tahun yang lalu, masa aku lepas tamat tingkatan 5.

Sesi risik-merisik ni, macam biasa.. dimulakan dengan sesi perkenalan, kemudian penerangan, perkongsian dan diakhiri dengan sesi pertanyaan terbuka. Seronok juga bila saat aku sedang berkongsi cerita dan pengalaman kerja aku terdahulu, mereka berdua (yang menemuramah aku) bagai begitu tertarik dengan kerjaya aku sebelum ini. Sesungguhnya benar bahawa komunikasi dua hala dan teknik-teknik komunikasi itu penting dan tidak sia-sia aku mempelajari subjek ini dahulu.

Kiranya sesi pagi ini adalah sesi ke-5 setakat ini. Sebelum ini bersama PERMATA, PCSB, ABF, PDB dan CAU. Itu semua ringkasan syarikat/jabatan yang cuba merisik-risik aku sebelum lamaran pekerjaan baru dikeluarkan. Setakat ini, semuanya masih belum ada berita selanjutnya.

Perasaan aku? Aku tak sedih kerana aku tahu diri aku dan kemampuan aku. Aku telah usahakan yang terbaik dan aku rasa seronok sebenarnya bila menghadiri sesi seperti ini. Aku dapat aplikasikan apa yg aku pelajari dan dalam masa yang sama aku akan mengetahui perkara yang baru. Bertemu orang adalah sesuatu yang menarik. Aku suka. Pernah suatu waktu dulu sewaktu aku mencari lamaran pekerjaan selepas tamat pengajian, aku menghadiri banyak sesi risik-merisik ini dalam masa 2-3 bulan lebih malah dalam sehari pernah 3-4 tempat. Berputus-asa, itu bukan prinsipal hidupku. Aku pergunakan sepenuhnya peluang yang diberikan. Yang penting, yakin, tunjukkan kredibiliti, berkomunikasi dengan baik dan lakukan dengan hati yang bersih. Kemudian haruslah disulami dengan doa serta tawakkal kepada Allah.

Keyakinan kita yang kuat pada Tuhan Yang Maha Kuasa tidak akan mengecewakan!
.. sebab, jodoh pertemuan, ajal maut.. semua itu HakNya! kita hanya perlu berusaha.

Buat teman-teman sekerja yang sudah menerima lamaran dan berpindah ke rumah baru.. bekerja di mana saja berada.. Semenanjung, Sabah atau Sarawak.. malah mungkin di bumi Eropah atau Australia (melanjutkan pelajaran), semoga hijrah kalian diberkatiNya dan pasti membawa hikmah yang terbaik dalam hidupmu.

Buat yang masih menanti dan menanti...
bersabarlah dan berusahalah.. jangan sesekali kesal kerna pasti ada yang lebih baik untuk kita.

Hidup ini adil, hanya kita sendiri yang kadangkala tidak adil pada diri kita.

Monday, September 13, 2004

Titipan Buat Along


Assalamualaikum Along!
Ifa harap Along akan jumpa juga tulisan ini kelak. Susah juga kan bila kita adik beradik, kadang-kadang macam bukan adik-beradik. Maaflah jika tulisan ifa ni, berpusing-pusing sikit bahasanya, ala.. macam tak faham pulak eh.

Pagi tadi ifa sebenarnya dah berkajang menulis sesuatu untuk Along, yelah sebagai abang sulung ifa yang dah melangkah ke ulangtahun kelahiran yang baru hari ini. Macam-macam ifa tulis tapi entah kenapa, jari ni cepat saja 'highlight+delete".

Long,
Tak sangka kan, pejam-celik, pejam-celik... dah 13 September. Seingat ifa, kali pertama ifa meraikan hari istimewa untuk Along nih, kira-kira umur ifa 14 tahun.. itu pun masa tu Along sambut ulang tahun Along ke 19. Masa tu Along kat mana ye? Ingat lagi tak?

Long..
Jangan la rasa gelihati pula bila baca tulisan ni yang memang sah-sah gaya penulisan surat macam yang kita belajar di sekolah dulu. Bukan apa,walaupun masih menggunakan 'penceritaan', tapi tidak pula menggunakan bahasa percakapan kita seharian.

Semasa ifa menaipkan tulisan ini, ifa belum lagi membelikan apa-apa hadiah pun untuk Along. Harilahir ifa bulan Jun lalu, terharu juga bila terima cawan ceramik yang comel itu. Ifa ingat nak belikan Along bekas kad bisnes dengan pen kot. Tengok la malam nanti apa yang akan Along terima. Lepas balik kerje, ifa akan terus ke kelas mengaji kat Bukit Aman tu. Kelas akan habis jam 10.45, boleh jadi jam 11.30 juga baru boleh tiba rumah.

Oh ya..
terimalah puisi ini khas dan spontan
sempena hari istimewa ini

Along..
itulah panggilan pertama buatmu
dari aku, adik perempuan sulung mu
yang sewaktu kelahiranku di fana ini
kau masyhurkan di setiap insan yg ditemu
bangganya hadir seorang aku

Along..
bukan Abang Long .. mahupun abang
kerna lidah ini sudah terdidik begitu
walau kadang kita ber kau aku
namun mesra masih di situ

Along..
maaf dariku seandainya sesewaktu
bahasaku sinis menghiris kalbu
semata untuk menyedar dirimu
tatkala hanyut mengikut nafsu mudamu

Along..
suatu waktu dulu aku hormatmu
kagum dengan semangat juangmu
tak mengira tuduhan, cerca tipu
rasa tanggungjawab dan kepimpinanmu
membuat aku ingin kuat selalu

pesananku..
Long,
walau umur sekadar angka penentu
ingatilah selalu pesan ayah ibu
walau mungkin terlupa akan diriku
yang penting..
jgn lupa akan Penciptamu
kau seorang lelaki
kau seorang anak
kau seorang hambaNya
dan suatu waktu nanti
kau akan jadi ayah, datuk
walau entah bila saatnya

Di ulangtahun ini..
kuharapkan dan kudoakan
agar tumakninah itu berkekalan
dan kejayaan kebahagiaan berada digenggaman

Salam ULANGTAHUN KELAHIRAN..
wahai Kebaikan Tiang Agama..
AHSAN 'IMADUDDIN!

ALY
Menara Satu
16:20

p/s: terima kasih buat sahabat RMKL yang singgah di laman ini , kak ixora, mtmr, mie-montel209, BlitZkeRg dan yang lain.

Tuesday, September 07, 2004

Menanti Lamaran?

"dah lama tunggu?" bicara Hang Tuah

Hasrat untuk menulis ulasan mengenai filem epik Malaysia abad ini, Puteri Gunung Ledang (PGL) yang telah aku tontoni lewat tengahari 1 September lalu, terpaksa aku tepikan dulu. Bukan kerna apa, hanya kerna aku ingin menyaksikannya beberapa kali lagi kisah Laksamana Hang Tuah mahu melamar Puteri Gunung Ledang buat Sultan Mahmud itu, sebelum menulis ulasan. Aku akui PGL adalah filem yang hebat namun masih punya kamar-kamar improvisasi. Bukan dalam teknik nyanyian seperti yang kita lihat di Akademi Fantasia saja kita boleh mengadakan improvisasi (membaiki atau memperelok), malah di segenap ruang kehidupan sebenarnya. Berbicara mengenai improvisasi, setiap tahap kehidupan kita adalah proses improvisasi. Malah tugas yang aku sandang di pejabat juga berkisar dengan improvisasi proses perniagaan syarikat. Hmm.. banyak sangat perkataan improvisasi pula.

Sebenarnya tulisan ni dari hari Rabu lepas lagi aku mulakan. Nampaknya macam nak jadi jeruk juga pun ada. Apa tak nya, baru tulis satu ayat, dah ada kawan yang minta tolong, kawan ajak pergi makan, ada yang minta ajar itu lah.. minta inilah. Tulis lagi satu ayat, diri sendiri ada hal ke bank la, pejabat pos la, teman si A la, terima panggilan si Z la, padahnya.. lambatlah tulisan ini di'udara'kan.

Aku dalam bekerja, kami seperti sebuah keluarga besar (mana tidaknya, ahli keluarga pun ada 500++). Amatlah bahagia keluarga besar ini bertahun-tahun, tapi tidak tahu angkara siapa, keluarga besar ini telah berpisah. Kerna itulah juga laman blog ini ku tinggalkan buat sementara. Menelusuri atmasari sendiri, mencari damai di hati. Kenapa begitu? Mungkin ada yang dah tahu.. mungkin ada yang belum tahu. Bukan apa, keluarga Gi yang menaung kerjaya aku selama 3 tahun sebelum ini telah dibubarkan dan diganti dengan keluarga baru Ir. Aku pula telah diberi pilihan untuk menentukan kedudukan aku, sama ada untuk terus mendiami banglo Ps yang 88 tingkat ini atau menerima lamaran Ir. Maka, pada penghujung Jun lalu, aku mengambil keputusan setelah beristikharah, muzakharah tapi belum muntah darah .. ;) untuk terus setia berdiam di port 021, tingkat 61, banglo Ps dan menolak lamaran Ir untuk bersama. Macam kisah percintaan pulak rasanya. Nasib baik bukan kes kahwin paksa (walaupun ada juga lah ciri-cirinya..)

Alkisahnya, selepas masing-masing semua membuat keputusan, maka mereka (100++) yang menerima lamaran untuk bersama Ir, dalam senarai hantaran, sedulang sebulan gaji disertakan. Macam orang baru berkahwin. Banyak la perkara baru yang harus ditempuh, bersama orang baru.. perpindah ke rumah baru walaupun terpaksa menumpang di rumah mertua, sesak-sesak sedikit, haruslah diterima seadanya sementara rumah sendiri masih dicari. Ada dengar-dengar juga, sesekali riuh rendah dengan macam-macam perkara, namun pada aku.. biasalah tu bila baru nak mencari keserasian.

Pada yang tinggal macam aku ni, dijanjikan bahawa jodoh seterusnya akan dicarikan seberapa segera. Menjanda lah aku walaupun masih dara. Hehehe.. tergelak juga lepas aku menulis tadi. Yelah dalam kerjaya aku menjanda.. dalam kehidupan, masih anak daro laie. Tapi kedua-duanya membuatkan aku terus menanti lamaran seterusnya. Huhuhu (pinjam gelak Po'ad Manmoncang kejap). Nasib baik walau menjanda, masih juga aku mendapat nafkah bulanan seperti biasa. Alhamdulillah.

Cerita bab menanti lamaran nih.. sesungguhnya betul bak kata orang tua-tua "Penantian itu satu penyiksaan". Siapa kata seronok dan bahagia jika dibiarkan diri dalam penantian. Haa.. cuba tengok lirik lagu nyanyian Mawar Hitam ini..

Penantian (Blackrose)

Dikamar ku menyepi
Hanya lilin menerangi
Beginikah seksanya
Hidup dalam penantian
Ditabir tirai malam
Ada insan kesepian, keseorangan...

Dan setiap detik yang ku lalui
Seluruh malam ku membisu
Tetap setia menantimu
Bayanganmu entah di mana

Mengapa harus kita ditemukan
Di saat jiwaku keresahan
Apakah aku satu persinggahan
Mengubat rindu... oh...

Kau dahagakan...
Ku kehausan...
Setitis rasa
Pada bayangan yang tak pasti... oh...

Kau nyalakan perasaan
Mengukir kemesraan
Mungkinkah ada sinar
Bersama impianku

Dah telah ku duga
Suasana keindahan seketika
Aku tetap menanti mu

Kau dahagakan...
Ku kehausan...
Setitik rasa... oh...
Aku tenggelam...
Kehampaan...
Keseorangan...

Mana sinaran ?...
Terangilah hidupku
Tak sanggup lagi... aku... sepi...

Emm.. panjang ke posting aku nih? Aku rasa nak sambung lagi la nanti..

Ku tinggalkan tulisan hari ini dengan petikan PGL
"sesungguhnya pengorbanan cinta itu terlalu indah"

<<<< ... kanda.. di mana kah kau berada? >>>> menjerit dgn suara halus yang bergema..