Thursday, September 30, 2004

Bila Mata 'Berpeluh'

09:16 AM
Tak tahu lah tajuk di atas tu sesuai ke tidak. Kelmarin dan semalam ada menulis juga tapi posting asyik hilang di tengah 'jalan'. Sabar saja la..

Semalam semua barang-barang aku(dibaca: manual kursus-kursus dan buku) telah dibawa pulang. Tak banyak mana pun.. adalah satu kotak sebesar monitor 14 inci, kotak tu HR yang kasi. Tak pernah-pernah letak kereta kat bawah KLCC, RM12.50 sehari.. bayar juga semalam. Senang nak tolak troli dan angkut kotak. Selalu aku letak kereta di sebelah Menara TA dan berada di seberang jalan. Terima kasih buat Bob, sebab teman ifa turun ke level P3 dan tolong angkatkan kotak besar tu.

Semalam pagi pula, aku sempat menonton wayang dengan Kak Irene. *me kacih belanja ifa* Kami tonton cerita 'Princess Diaries 2'. Terhibur juga rasa hati. Kami menonton tayangan jam 11.00 pagi setelah aku selesaikan urusan kewangan pertukaran jawatan dan tempat kerja dengan HR. Nasib baik panggung Kampung Emas Tanjung (TGV) tu terletak dibangunan yang sama. Seronok! Yelah menonton di kala tak ramai penonton lain, dan *wink* waktu pejabat. Kalau di pejabat pun aku & Kak Irene dah menopang dagu saja.
<09:35> Berhenti sekejap. Nak tolong Push burn data ke CD sebelum dia terbang ke Bintulu. Flight jam 2.00 petang nih. Good Luck, dear!! Will miss you.

10:37 AM
huh.. hmm.. *tarik nafas dalam*

Kadangkala memang bukan mudah nak mengawal perasaan, kan. Akhir-akhir ini ujian kawalan rasa memang sering melanda kehidupan ifa. Terutama rasa-rasa yang dipanggil sayu, pilu, syahdu, sedih, sendu yang seringkali menerbitkan rasa tak-sampai-hati dan serba-salah. Orang melihat ini adalah rasa yang negatif tetapi pada ifa, semua itu terpulang pada kita yang merasa dan mengawalnya. Perasaan sebegini boleh dijadikan positif seandainya kita melihat hikmah disebaliknya. Lebih-lebih lagi seperti dalam situasi ifa sekarang. Hanya beberapa hari saja yang tinggal untuk dihabiskan bersama. Rasa-rasa yang sebeitu terbit membuatkan ifa makin sayang dan makin menghargai kehadiran apa yg di sisi ifa selama ini. Membuatkan rasa ingin membahagiakan mereka tak kira lah, keluarga, sahabat handai mahupun rakan sekerja.

Pagi ini (sebentar tadi) saja mata ifa sudah 'berpeluh' atau dalam erti kata lain, terleleh air mata, bila seorang rakan sekerja yang sudah akrab dan sering berkongsi masalah, melampiaskan kegusaran hati beliau bila ifa tiada di sini. Hmm.. apa yang boleh ifa katakan pada beliau .. "huduhkan bila tengok muka sendiri cemek menahan tangis".

Cerita bab menangis ni, teringat masa kecil-kecil dahulu. Akulah JUARA! Sampai digelar 'ciwek' / 'gembeng'. Mana tidaknya, pantang dimarah, dipersalah atau disakat, pasti muka pantas saja mencebik dan airmata pun meleleh. Dah la mata ni pun sepet.. makin sepet la jadinya. Heheh.. *tergelak sendiri dibuatnya* Ifa pun tak tahu kenapa masa kecil dahulu kuat menangis. Mungkin itu saja penanda buat ayah-ibu merasa aku adalah anak perempuan. Yelah.. ifa ni anak ketiga (tapi perempuan sulung), kedua-dua yang di atas ifa, abang-abang.. dapat pula anak-anak jiran semuanya lelaki, rakan disekolah juga ramai lelaki. Kadang tu mereka ejek 'tomboy ciwek', lasak macam budak lelaki tapi kuat menangis. Tomboy kampung tak sama tomboy bandar. Ifa ingat lagi ifa mula cekal dan tabah (dibaca: tidak menangis lagi) bila ifa memasuki alam persekolahan menengah dan tinggal di asrama.

Bila cerita pasal sekolah, ifa jarang juga menangis di sekolah, tak kira la tadika atau sekolah rendah. Hanya di rumah saja rasanya lebih-lebih lagi bila dibuli (dibaca: disakat) dengan along dan angah, kadang kala ayah dan ibu pun join sama. Ifa benar-benar tidak menangis-nangis lagi bila masuk ke asrama, sebaliknya ibu dan ayah yang menangis. Waktu itu hairan juga tapi membiarkan saja ia berlalu. Pada ifa waktu itu, rasa gembira kerana dapat menikmati alam baru persekolahan menengah bersama kawan-kawan perempuan. Jauh dari keluarga memang bukan masalah dalam hidupku kerana padaku, keluarga senantiasa di hati dan ingatan ini. Kasihan juga bila melihat ibu dan ayah menangis. Ifa tahu, mereka sedih kerana anak yang sering menceriakan dan membantu keluarga ini sudah mula menerokai kehidupannya sendiri. Dalam usia 12 tahun itu, baru aku lebih mengerti makna tabah, sabar, bijak, kuat, teguh, berdikari yang sebenar. Minggu-minggu awal di asrama, kawan-kawan sebaya menangis mohon pulang, aku tidak, sebaliknya ibu yang menangis memohon aku pulang. Aku pulang semata-mata kerna tidak mahu melihat airmata ibu lagi. Bila suatu waktu aku tidak dapat pulang, aku akan menghabiskan syiling untuk berbual berjam-jam dengan ibuayah di pondok telefon awam.

Kadangkala, kita memang perlu menangis. Tidak kira lelaki atau perempuan. Sekadar melepaskan rasa yang menyesak dada. Tangisan terkawal adalah tangisan yang mahal, bukan mengongoi macam si Iqa, adik bongsu ku yang dah lebih besar dari aku, bila keras kepala tidak mahu membantu kerja rumah.

Mana datangnya istilah 'mata berpeluh'? Hmm.. itu adalah jawapan yang aku beri suatu waktu dulu, bila ada kawan terlihat aku menangis dan bertanyakan mengapa. Oleh kerana aku tidak mahu dia sedih sama, aku pun menjawab "takde apa-apa, cuma mata berpeluh" dan tak disangka dia ketawa kelucuan mendengar istilah baru itu. Lantas melihat wajah ceria begitu membuatkan aku pun tersenyum kembali dan turut ketawa sama hingga secara automatis rasa sedih yang menyelubungi diri kala itu hilang sendiri terselimut gembira yang dirasa. Teringat lagi kami bertekak juga mengenainya selepas itu

"Kenapa mata berpeluh? Bukan ke ko tengah menangis tadi?"
"Yelah.. mata aku berpeluh la. Bukan ke mata aku keluarkan air..sama macam roma-roma kulit kita keluarkan air dan ko panggil peluh.. kan"
"itu lain.. kalau kulit... berpeluh, mata..menangis, habis tu kalau air keluar dari hidung tu apa?"
"ohh.. itu tandanya, masakan yang aku makan tu sedap sangat.. buat hidung aku menangis.. ekekekke "
"hehehhe.. ada-ada saja lah ko ni, aliph!"


<11:37> Berhenti lagi. Nak lepak kat tempat Bob sekejap, nak menghabiskan teh dalam cawan ifa yang dah sejuk di situ. Esok, dah nak gi Kuantan buat 'familiarization visit', tengok opis baru dan cari rumah sewa. Entah bila lagi aku boleh menyakat Bob.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home