Tuesday, August 31, 2004

Pukul 12.00 Pagi..

Jam berdenting 12 kali..

Laptop ku memainkan DVD cereka Bintang Hati sementara aku sedang menaip dan di luar rumah pula, berdentuman bunyi mercun memecah sunyi dinihari pagi. Agaknya waktu ini, berjeritan anak-anak merdeka melaungkan MERDEKA! di Dataran Shah Alam, Pusat Bandaraya Shah Alam, Seksyen 14 dan juga tempat-tempat yang sewaktu dengannya. Nyaring mercun dan geruh dentuman bunga api masih bersahutan. Situasi dan bunyi yang sama terjadi tatkala setiap perayaan besar di Malaysia ini dirayakan. Kadangkala, bunyinya seakan sama bak orang yang berperang gamaknya.

MERDEKA KAH KITA?

Mari kita selusuri makna kata dasar MERDEKA itu sendiri. Menurut kamus yang aku gunakan pada tahun 1989, tatkala menginjak masuk ke alam sekolah menengah 15 tahun dahulu.. "Kamus Pelajar Baru KBSM, susunan Arbak Othman", Merdeka bermaksud bebas dr penjajahan, kurungan, naungan; lepas daripada tebusan atau tuntutan; berdiri sendiri; tidak bergantung pada yang lain.

Ayat yang cukup ringkas, penerangan yang amat mudah namun, tersirat maksudnya begitu mendalam sebenarnya. Diberikan contoh dalam kamus itu, dalam ayat Kedatangan Islam ke dalam dunia ini merupakan pemerdekaan umat dari kejahilan. Pemerdekaan itu membawa makna perihal melakukan pembebasan. Bebas dari apa? Islam hadir membebaskan kita dari belenggu kejahilan/kebodohan. Malaysia Merdeka.. bebas dari penjajahan Inggeris (waktu itu). Kini, apakah kita merdeka dalam erti kata sebenarnya?

Quote dr Blog Bob DCCR dalam postingnya Erti Kemerdekaan 4
Mengambil sepotong kenyataan yang dibuat oleh bapa kemerdekaan kita yang saban hari disiarkan melalui radio sempena menyambut hari kebangsaan ini beliau
berkata "Kita memperolehi kemerdekaan kita bukanlah dengan berlawan dengan depa, kita tak boleh lawan dengan depa, kerana kita tak da senjata untuk berlawan.
Kita berjuang untuk tuntut kemerdekaan dengan menggunakan perlembagaan sahaja".
......bolehkah kekawan menerangkan erti yang tersirat dalam kenyataan ini?....
Mungkin para di atas terlalu ilmiah bunyinya. Mungkin lebih mudah andai aku ceritakan saja apa yang aku lalui sejak petang tadi dalam merenung erti kemerdekaan ini.

Rancangan awal untuk menaiki LRT Putra ke pejabat aku batalkan kerana jalan yang amat lengang. Aku memandu buah hati kesayanganku , Abg Wiraku ke pejabat. Sehari sebelumnya, kereta ku itu telah dicuci bersih dan ku pasangkan Jalur Gemilang [JG] yang besar di bonet Wira ku itu. Hujan lebat pagi tadi ku rasakan rahmat kerna menyejukkan alam yang agak kepanasan sejak kebelakangan ini. Memandu dari Shah Alam melalui Lebuhraya Persekutuan amat menyenangkan. Cukup dengan kelajuan 80-90km/j, amat selesa sekali perjalanan pagi tadi. Sambil mendengar celoteh DJ Hj Manan di radio frekuensi 97.2 fm [RMKL] yang tak habis-habis membacakan pesanan ringkas pendengar, aku sedari tidak banyak kenderaan di jalan raya yang memasang JG. Pesanan pendengar banyak berkisar info trafik dan ucapan merdeka. Aku bersyukur kerna dapat merasai situasi itu pagi tadi.. malah pagi-pagi sebelumnya, juga seterusnya kelak. Kerna apa? Kerana.. di zaman sebelum 47 tahun yang lalu, bukan mudah untuk rakyat Malaysia mendengar radio seenaknya seperti sekarang. Malah menurut cerita ayahku, nyawa datukku hampir habis dihujung mata pedang tentera Jepun semata-mata mereka menyangkakan suara datukku mengaji Al-Quran itu datangnya dari suara radio. **Semoga Allah mengampun dosa arwah Hj Abu Hasan dan menempatkannya di Syurga kelak, amiin~** Bertuahnya anak Merdeka, dapat mengecapi nikmat siaran radio.. interaktif dengan teknologi terkini lagi.

Itu baru seperkara nikmatnya kemerdekaan. Aku saja pulang agak lewat dari pejabat kerana mahu merasai suasana malam di ambang Ulangtahun Kemerdekaan ini. Rancangan awal untuk meraikan pemergian Didie ke Kota London ditangguhkan lantaran beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan. Kesempatan itu, aku berpeluang bertemu salah seorang sahabat RMKL (pendengar RMKL yang berdaftar di panggil Sahabat), samantrafik di Suria KLCC. Usai pertemuan itu, aku terus pulang dan jam sudah ke angka 8.30 malam.

Perjalanan pulang aku memandu sekadar 70-80km/j. Bukan kerana banyak kenderaan di jalanan atau apa, hanya aku ingin merasai bahang keraian Kemerdekaan Malaysia ke-47 ini. Sepanjang perjalanan, aku terfikir...

MERDEKA KAH KITA?.. andai
1. masih ada warga Malaysia yang membuang sampah keluar kenderaan tanpa rasa bersalah.
2. muda-mudi Malaysia tak kira bangsa berpakaian tidak segenahnya.. kadangkala dilihat seperti tak bertamadun pun ada.
3. lagu Negaraku dan Rukun Negara masih ada yang lupa malah ada juga warga yang tak tahu isi patahnya.
4. berbondong-bondong remaja menyongsong ke pesta hiburan tetapi sepi ke acara ilmuan.
5. .. argh banyak lagi kalau hendak disenaraikan semuanya.

Apa jua ertinya, semua terpulang pada diri kita.

Hidup ini sebenarnya pilihan, sama ada kita ingin memilih antara baik atau tidak, berjaya atau gagal, kuat atau lemah, bahagia atau derita, tawa atau tangisan, maju atau mundur, mulia atau hina, .. dan seumpamanya. Maka, berfikirlah dan pilihlah jalan yang benar. Andai kita tersesat di jalan mati, jangan sesekali berputus asa sebaliknya pilihlah untuk terus berusaha, paling tidak.. kembali ke pangkal jalan.

Buat semua,
warnailah nikmat selepas kemerdekaan ini dengan sejuta warna yang lebih bermakna.. bukan pada siapa, pada diri sendiri.. agama, keluarga, bangsa dan negaramu yang tercinta.


Selamat Hari Ulangtahun ke-30 untuk..
Angah Ahmad Istiqlal.

Merdekakanlah dirimu bak indahnya namamu
"Kemerdekaan Yg Terpuji".
Maafkan Ifa kerana tak mampu menjadi adik yang terbaik untukmu. Moga hidupmu menjadi lebih bermakna
.

Monday, August 30, 2004

Akhirnya...

Hmm..

Jam dah berdetik ke angka 6.06 petang.

Aku masih di Menara Satu. Ruang pejabat sepastinya awal-awal lagi sudah sunyi sepi. Sedangkan hari-hari biasa, sejak sebulan yang lalu memang sudah sepi, inikan pula hari bekerja yang diapit hari cuti umum. Pagi tadi ada 7 orang yang swap-in, lepas tengahari hanya tinggal kami bertiga... aku , Bob dan Nana.

Setelah sekian lama ku jeruk agenda untuk mengubah rupa blog ini, baru hari ini.. pantas saja aku cuba selesaikan. Seharian juga mengadap kod-kod yang dah lama tak ku jenguk. Walau masih tak 100% aku berpuas hati, sekurang-kurangnya tekad pada diri sendiri dah tertunai. Tak tahulah apa kata kawan-kawan yang lain. Harap kalian sudi mencoret pesanan untuk aku nanti.

Malam ulangtahun merdeka sudah menjenguk diri, apa sebenarnya yang dihayati lewat Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-47 ini?

47? Baru aku perasan. Rupanya lepas 20 tahun merdeka aku baru lahir. Alhamdulillah .. kesyukuran itu memang semua milikNya!

Salam Kemerdekaan buat semua rakyat Malaysia!
Selamat bertemu kembali buat pembaca coretan ku ini.