Monday, March 21, 2005

Bila Lama Ditinggalkan..

Entah kenapa sejak Jumaat lepas terlintas untuk menulis mengenai beberapa perkara yang dah lama ditinggalkan dan sejak akhir-akhir ini ifa cuba memulakannya semula.

JAMU

Bila Kak Zie tulis nak tanya pasal Jamu di dalam ruang chat, ifa pun teringat pesanan ibu yang semakin lama ifa tinggalkan.

Ifa mula minum jamu seusia 12 tahun. Payah juga pada mulanya. Jamu terawal ifa minum adalah jamu hasil buatan ibu ifa sendiri. Tak ingat sangat apa ramuannya, yang pasti rasanya amat pahit dan memang confirmed tak sedap langsung! Segala 'temu' ada.. temu kunci, temu lawak, kunyit dan seangkatan dengannya. Eee.. terasa-rasa di tekak bila dikenangkan kembali saat itu.

Tapi bila ifa sudah mula masuk ke sekolah menengah dan tinggal pula di asrama, untuk minum jamu yang dibancuh memanglah amat payah. Jadi, jamu harian ifa adalah Potret Nyonya Meneer / Mustika Ratu : Putri yang berbentuk butiran kecil; dimakan dengan air (macam makan panadol) mengikut hari-hari yang ditetapkan. Masa itulah, ifa kenal Kak Zie. Katil kita dekat-dekat kan. Masa sekolah, ifa dikira rajin juga makan jamu. Malah ketika tinggatan 3, ifa sudah mula membancuh sendiri jamu serbuk yang memang semakin mudah didapati di pasaran. Selalunya brand pilihan adalah PNM atau Air Mancur. Jenis jamu pula hanya berlegar antara Putri Ayu atau Sehat Putri. Bila masuk universiti masih lagi diamalkan, lebih-lebih lagi bila ibu ifa sendiri menjual jamu di kedai makan yang kami usahakan. Jenis juga sudah bertukar ke Galian Singset, Sihat Wanita, Awet Ayu dan beberapa lagi jenis yang lain.

Sayangnya amalan itu semakin hilang bila ibu berhenti berniaga. Cuma akan ifa minum sekali sekala bila terserempak dengan penjual jamu di pasar malam di kampung ifa atau di bandar Klang. Memang ifa liat sikit nak minum bila kene bancuh sendiri, tapi jika ada yang tolong bancuhkan.. ifa minum saja. Selalunya bahan bancuhan terdiri dari serbuk jamu, madu lebah, beras kencur, tonik, air suam dan sedikit perahan air limau nipis. Kalau mahu kuning telur ayam kampung juga bagus untuk ditambah sekali ke dalam bancuhan tadi. Seeloknya diminum semasa masih hangat dan ditelan dengan hampas-ampasnya. Rasanya memang tak sedap tapi bila dah mengalir dalam badan, kehangatan yang menjalar menyegarkan badan yang letih. Tetapi harus diingat untuk wanita, jangan pula minum jamu ketika waktu bulan mengambang kerana jamu memang panas dan tidak sesuai diminum ketika datang haid. Hanya jamu khas untuk haid saja yang sesuai.

Jadi pilihlah jamu yang sesuai mengikut keinginan yang kita kehendaki. Dan seeloknya dapatkanlah nasihat mereka yang berpengalaman teruatama pada mereka yang memerlukan jamu untuk kerukunan rumahtangga. Ifa amat berterima kasih pada ibu yang pada awal-awal usia lagi memaksa ifa minum jamu, kerana khasiat yang ifa rasai memang berbaloi. Ifa mengamalkannya kerana faedah yang ifa sendiri rasai bukan kerana terpaksa mengamalkan budaya ibu ifa yang berasal dari tanah Jawa itu.

Kat Kuantan ni, kat mana lah agaknya ada kedai yang siap bancuh jamu eh? Nak ifa bancuh sendiri.. hmm.. memang suka ngelat lah gamaknya. Sebab tu lah sekarang, badan makin berisi.. heheh..


NAIK BAS
Memang amat lama rasanya tak menaiki pengangkutan awan, terurtamanya bas, lebih tepat lagi.. bas ekspress. Pengalaman terakhir ifa menaiki bas ekspress pada tahun 1998 dari KL-Baling-KL. Dan pengalaman KL-Pantai Timur-KL pula sekitar 1994. Lama sungguh.

Jumaat lepas ifa berkesempatan untuk merasai kembali pengalaman itu. Ifa memang mengambil keputusan untuk tidak memandu kereta dari Kuantan ke KL, sebaliknya memilih menaiki Bas Ekspress Bulan Restu sahaja. Alhamdulillah perjalanan lancar dan selamat. Pada pemerhatian ifa, perkhidmatan sekarang lebih baik dari waktu dahulu dan jalanraya/lebuhraya juga semakin elok. Jangkamasa perjalanan juga semakin singkat. Ifa rasa bertuah kerana pengalaman kali ini adalah pengalaman yang baik belaka. Penempahan tiket yang mesra, bas yang bersih & selesa, permandu yang berhemah, bertolak tepat pada masanya, waktu rehat mencukupi dan perjalanan seperti yang dijanjikan.

Pengalaman ini sebenarnya mengingatkan kembali saat-saat dulu waktu tiada kenderaan sendiri. Melihat penumpang lain, lebih-lebih lagi orang yang tua dan mereka yang bekeluarga agak besar, menginsafkan diri ifa agar tidak lupa untuk membantu dan memahami keadaan mereka, yang mana suatu waktu dulu ifa sendiri pernah merasai. Yelah, adik beradik 7 orang dan semua perlu menaiki bas untuk pulang ke kampung ayah di Melaka. Hmm.. *tersenyum sendiri bila terkenangan memori silam yang laju bermain di kotak ingatan*

Monday, March 14, 2005

seberapa pantas

Tiba-tiba teringat tajuk lagi SO7 yang menjadi siulan suatu waktu dulu. Ni kira ifa akan cuba taipkan seberapa pantans yang boleh atas apa jua yang nak dicoretkan di sini.

Kisah Hari Ini
Baru saja tamat hari pertama 8.00pagi-5.00ptg Latihan Audit Dalaman ISO 9001:2000 di Kuantan. Ada 2 hari lagi perlu dihabiskan. Tapi ni kene masuk opis juga sebab ada kerja penting yang perlu diselesaikan. Sempat melihat mailbox yang dah 'over quota'. Terus mengemaskini kotak email dulu, menyimpan/mencetak mana yang penting dan membuang mana yang spam. Sempat juga menjawab satu dua email. Lantas terpandang notifikasi email yang mengkhabarkan setiap posting baru ke DCCR, laman yang amat kerap ifa kunjungi milik BOB, rakan sekerja ifa di KLCC dulu. Rasanya dah hampir 30 postings Bob yang ifa masih belum sempat untuk membaca kerana masih tak berkesempatan. Lantas, buat menghilang rindu.. ifa cuba juga luangkan masa untuk mencoret nukilan ini buat Bob dan pembaca atmasari sekalian.

Lewat Hujung Minggu
Hujung minggu lepas, ifa sempat pulang ke Shah Alam buat menjenguk orang tua dia rumah. Rancangan awal mahu pulang sehabis waktu kerja hari Jumaat, namun atas beberapa sebab yang tak dapat dielakkan, makan ditunda pada Sabtu pagi. Bertolak jam 8.30pagi dan tiba di rumah hampir jam 12.00tghari. Masuk-masuk rumah terus ibu suruh ifa tukar baju untuk ke rumah kenduri. Naik kereta semula untuk ke Hicom, Shah Alam kemudian terus memasuki lebuhraya ke KLIA/Sepang untuk ke rumah kenduri seterusnya di Sepang. Pulang dari sana, singgah di R&R Dengkil untuk solat. Kemudian ayah dan ibu mahu duduk minum air jus sambil makan keropok udang. Borak punya borak jam sudah 4.00petang lebih. Terus pulang dan tiba 5.00 lebih.

Kerna keletihan memandu 8.00-5.00, mohon dari ibu untu merehatkan diri seketika sebelum memandu kereta dan membawa ibu ke kedai berdekatan pasar borong Jln Meru. Semasa perjalan ke Klang, sambil berborak dengan ibu, terlihat airmata ibu bergenang. Bila ditanya mengapa, ibu bilang dia sedih sebab ganggu waktu rehat ifa tadi. Lantas ifa nyatakan bahawa ifa pulang memang untuk membantu dan menunaikan segala hasrat ibu seperti yang telah dibualkan dalam telefon beberapa hari sebelumnya. Lega rasanya bila melihat ibu tersenyum semula. Sayangnya waktu kami tiba di Klang, kedai tersebut telah ditutup. Maka terus kami ke Makro & Giant Seksyen 13 untuk membeli barang-barang kering yang telah kehabisan di rumah. Tiba di Giant, hampir penuh juga satu troli dan terserempak dengan kawan sepejabat dulu. Leka membeli hampir jam 11 juga baru tiba di rumah. Selepas membersihkan diri, memasak sedikit buat mengalas perut sendiri dana dik yang belum makan malam. Berbual sebentar dan mendengar cerita bonda dan ayah, akhirnya ifa tertidur keletihan.

Sepagi Ahad, selepas membersihkan diri.. jam 9 pagi sudah ke pasar basah pula di Klang untuk membeli barang-barang. Belum lagi ditambah mengulang ke Makro untuk menukar barang, jam 12.30 baru tiba di rumah. Jam 1.00 petang terus berkemas dan bersiap. Kali ini menuju ke Tmn Kosas, Ampang untuk menghadiri satu lagi kenduri teman semaktab haji ayahbonda ifa. Waktu pergi masih okay walaupun Jln Ampang ditutup untuk F1 Parade. Dugaan sungguh bila tiba waktu pulang. Dari rumah pengantin jam 2.15ptg dan hanya tiba di rumah kembali jam 3.30petang.

Kemudian terus pamitan (minta diri) pada ibu, ayah & mbah dan peluk cium utk adik-adik untuk pulang ke Kuantan. Singgah di KL Sentral untuk mengambil housemate yang tiba dari Seremban tapi sayangnya selisih dengan Bilis & Baulu yang minum teh tarik di KL Sentral. Jam 5.00 lebih masih berada di Lebuh Ampang yang sesak. Amlahmdulillah tiba di rumah Kuantan jam 8.00malam. Tiba saja terus membersihkan diri dan menunaikan kewajipan padaNya. Dek malas nak keluar semula membeli makan malam, ifa terus masak mee instant! Makan malam sambil menonton TV. Baru jam 10.00 malam kedua-dua rakan serumah ifa sudah masuk tidur dan ifa keseorangan menonton hingga ke rancangan Apprentice. Masuk bilik tidur dan masih mahu cuba membaca, namun baru saja buka buku Rapid Evaluation, mata sudah kuyu!

Buku diletakkan disebelah dan radio kecil ifa pasang mendengar siaran THR. Seketika ifa merenung masa yang begitu pantas berlalu. Seberapa pantas pun ifa cuba lakukan banyak perkara, lebih banyak perkara juga yang ifa masih tertinggal. Apapun, ifa rasa gembira kerna dapat menunaikan janji dan keinginan bonda tercinta. Walau letih, kepuasan itu tiada bandingannya.

Keranji: Pasar Rabu Minggu Lalu
Letih bekerja hingga jam 6 lebih, terus mengajak teman serumah singgah di Pasar Balok yang memang di pertengahan perjalanan pulang dari pejabat ke rumah. Tawaf beberapa kali kerana tiba-tiba tak tahu apa yang mahu dibeli. Sambil mata melilau tiba-tiba terpandang sesuatu, maka ifa singgah ke gerai makcik yang menjual sayuran kampung. maka terjadilah perbualan ini :
Ifa : makcik ni buah apa?
Makcik Pasar(MP) : eh, takkan mu tak tahu?
Ifa : tak tahu makcik..
Tiba-tiba dengan nada lantangnya makcik tu menjawab
MP : laa... apa peghaknya mu nih.. ni lah buah keranji.. tu pun' mu tak tahu?
Ifa : oOooo.. (dengan muka yang agak tertanya-tertanya..** mcm ni buah keranji**
seraya berkata lagi..
Ifa : Saya tahu dalam pantun aje makcik.. "sorong papan tarik papan, buah keranji dalam perahu, suruh makan saya makan, tapi buah keranji memang saya tak tahu.."
sambil mengulum senyum kat makcik tu..
Ifa : cemana cara makannya ye makcik
MP : laaa.. mu ni hidup kat mane? itu pun mu tak reti.. kupas la
Ifa hanya mampu tersenyum simpul bila orang lain memandang-mandang tapi masih nak juga berkomunikasi pasal keranji tu, sedangkan si Tuti (rakan serumah) dah menarik-narik baju untuk berlalu.
Ifa : rasanya macam mana eh?
MP : makanlah sendiri.. kelat masam-masam ..
lepas je suara makcik tu macam semacam je.. terus ifa beli sebungkus keranji berharga RM2.00.

heheh.. kelakar pula bila dikenang. Itulah kan.. ruginya kita bila banyak lagi buah-buah hutan yang kita tak kenal. Kisah di pasar malam itu tetap menjadi kenangan dan pengajaran.. "tak rugi kita bertanya.."

ifaalyana:
korang tahu ke buah keranji tu macam mana?
yang ifa rasa.. mesti Bob tahu! kan?!

Wednesday, March 09, 2005

Lelakiku Sayang

Entah mengapa hari ini, aku menolak sementara tugasan yang perlu disiapkan. Mahu mencoret di atmasari. ..dan entah mengapa juga Lelakiku Sayang jadi pilihan. Mungkin kerana si dia adalah seorang lelaki juga.

Aku merindui seseorang! Siapa? Dia yang masih menjeruk hati denganku atas kehilafanku tempohari. Biarlah kisah itu hanya bermukin di diari hatiku. Pedih yang dirasa biar merawat rindu yang melara.

Wokeh, kita cerita pasal Lelakiku Sayang eh..

Kehidupanku sejak kecil sentiasa berada di kalangan lelaki. Ifa lahir setelah ada 2 orang abang dan selepas ifa, ada 2 adik lelaki sebelum menerima 2 adik perempuan. Teman-teman sepermainan zaman kanak-kanak juga lelaki. Malah di kedewasaan ini juga ramai kawan-kawanku juga lelaki.

Ayah merupakan lelaki pertama sepastinya yang aku sayang, kerana aku adalah zuriatnya. Tanpa kehadirannya, aku tidak mungkin kan hadir di alam maya ini. Ayah anak kelahiran Melaka yang hidup merantau sejak muda dari Melaka ke Singapura dan Indonesia hingga menemukan ibu, wanita kesayangannya kini. Aku pula sejak lahir memang menjadi kesayangan ayah, yelah.. anak perempuan sulung lah katakan. Semasa kecil, aku menjadikan ayah sebagai idola. Namun, ketika aku remaja belasan tahun, aku pernah membenci ayah. Mungkin saat itu kematanganku masih cetek dan apa jua masalah yang aku lihat terjadi dalam keluarga menjadikan aku senang membuat kesimpulan dan penilaian sendiri. Namun bila usia menginjak ke angka yang lebih besar dan kematangan sebenar, mengubah persepsi terhadap ayah. Aku memang sayang sangat ayah! Malah di saat ini, tatkala usia ayah semakin menua, aku mudah tersentuh bila merenung wajah tua lelaki yang ku sayang itu. Ayah, ifa sayang ayah! Kasihan ayah, banyak yang ayah usahakan sering dipersia-sia. Tapi, ifa percaya dan selalu doakan, moga balasannya akan ayah terima buat bekalan di alam yang lebih kekal nanti. ~amin. Rindunya nak menyakat ayah dan mendengar kata-kata nasihat darimu, ayah.

Empat saudara lelakiku yang ku panggil sebagai Along, Angah, Uda dan Acik. Memang tak pernah aku memanggil mereka dengan panggilan 'abang'. Hehe.. entah mengapa aku sendiri pun tak tahu. Malah jika mereka dipanggil sebagai 'abang', mahu-mahu ada yang menjerit dan mengejar aku. Hidup bersaudara bak mencincang air, takkan putus. Begitulah aku dengan lelaki-lelaki yang ku sayang ini. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan.

Along, 33thn masih solo dan bekerja di Puchong. Suatu tika dulu menjadi idola ku juga. Malah beliau begitu bangga dengan kehadiran adik nya yang bernama Ifa ini (masa kecil-kecil dulu, bila dah besar ni tak tahu pula ye.)Sekarang dia berusaha mengembangkan perniagaan AMWAYnya. Doaku , moga akan tercapai juga suatu hari nanti. Kasihan juga bila mengenangkan Alongku yang sorang ni.

Angah, 32thn juga masih solo. Sejak kecil memang ku sedari yang Angah memang tidak begitu suka akan kehadiran aku. Kami sering bercekak dan sepastinya aku selalu menjadi mangsa bulinya. Padaku, Angah sebenarnya seorang yang bijak dan segak juga tetapi perasaan rendah dirinya terlalu tinggi hingga memberi kesan dalam kehidupannya. Entahlah. Yang pastinya aku memang tidak begitu rapat dengan Angah. Pernah suatu waktu dulu, kami pantang bertemu, pasti ribut satu rumah. Aku pernah membencinya tetapi kerna seorang ibu aku memaafkannya dan menerima Angah seadanya. Doaku.. moga Angah menemui apa yang dicari dalam kehidupan sementara ini. Segala perasaan berkecamuk bila mengingati kembali segala yang dilalui bersama Angah ifa ni.

Uda, 25thn masih solo. Lepasan diploma dan tidak menghabiskan pengajian ijazahnya. masih mencari kerjaya yang diidamkan. Adik yang nakal dan agak pendiam juga. Aku pernah memarahinya teramat sangat tetapi selalunya akan 'cair' dan tak sampai hati bila melihat wajahnya yang sayu. Dalam geram, marah... aku tetap sayang adikku ini. Pandai membuatku tersenyum dengan lawaknya dan mahir mengurut/mengubat aku bila penyakitku menyerang sekali sekala. Seorang lelaki yang sopan dan lembut hati, sering membuat golongan tua mudah menyayangi. Malah, ramai juga awek yang menaruh hati. Jarang bertemu membuatkan ifa merinduinya!

Acik, 23thn solo juga. Mengikuti pengajian ijazah perakaunan di UiTM. Seorang yang 'zuhud', naif, bijak dan cermat. Pandai menguruskan kewangan. Tinggi lampai juga. Setakat ini, memang boleh diharap dan moga-moga akan berterusan. Agak pendiam juga tetapi pasti akan becok bila dapat bertemu Udanya. Kadang kala bila melihat Acik keseorangan membuatkan aku makin menyayanginya. Adik lelaki bongsu lah katakan. Kasihan pada gadis-gadis yang sering mengutus surat dan tak pernah Acik balas. Tak sabar rasanya menanti saat seorang wanita selain keluarga yang mampu memenangi hatinya. hehe..

Mereka berempatlah membuatkan aku menangis suka dan duka serentak. Seburuk mana pun mereka berempat, mereka tetap saudara sedarahku, malah boleh menjadi waliku!

Wali? hehe.. bila bercerita pasal wali.. mesti akan membawa pada lelakiku sayang yang selain keluarga Ifa kan.

Sayang pada kawan-kawan tu, memang biasalah. Kalau nak berbicara sayang pada lelaki yang teristimewa... emm. Biarlah ia kemas dalam hati ifa saja kot! hehe..

Sayang juga pada abah-abah angkat ifa. Sayang pada yang tua.. sayang pada lelaki-lelaki yang ifa hormati dan yang menyayangi ifa sebagai anak, sahabat serta menghormati ifa sebagai wanita.

ifa alyana:
Buat semua lelaki ku sayang... ifa rindu kalian! Terima kasih menghiasi diari hidupku.


1:48pm
Hingga tika ini, yang berlegar difikiran dan ingatanku, seorang lagi lelaki yang ku amat disayangi.. S. Mungkin sayang membaca coretan ini dan ketahuilah, apapun yang berlaku antara kita.. perasaan yang hadir akan tetap kekal di situ. Maafkan ifa kerana terlalu banyak kerenah dan sering terlepas kata/laku yang sering menduga dan memedihkan jiwa kudusmu. Terima kasih kerna sudi memaafkan. Siapa S? hehe.. *wink* *wink*

ifa alyana:
Sayang,

terima kasih kerna membuatkan ku kembali tersenyum.

Tuesday, March 08, 2005

Semilir Berlalu

Gebeng.

10.35pagi

Lama sungguh tak menginjakkan hujung jemari di atas lantai alphabet dan nomor buat mencoretkan sedikit bicara atmasariku. Hari masih pagi namun entah mengapa kelopak mata ku rasakan memberat. Mungkinkah kerna sejak akhir-akhir ini aku semakin sukar menikmati keindahan lena. Tugasan yang semakin memberat dan lewat malam semalam aku masih di pejabat ini. Makin mempayah bila aku diulit rasa bersalah pada seseorang, S insan yang istimewa di hati ini. Gundah ku rasa, membukit risau menghuni sanubari. Dalam senyuman dan ramah sapa sehari-harian, moga tiada siapa yang mampu menerka apa yang berdiam di atmasari ini.

11.07pagi
Coretan tadi terhenti. Melayan tetamu yang mahu berurusan dengan rakan sekerja yang tiada menguruskan acara di Port Dickson. Mujur sebentar cuma. Masih sempat mereka mengusik dan menyakat aku. Gelak dan senyum yang ku sendiri rasakan bagai kurang pemanisnya. Mengapa ya?!

Dari EidulAdha, kini sudah melepasi beberapa perayaan lain. Pastinya ramai yang tertanya apakah kisah hidupku di bumi Inderapura ini.

11.38pagi
Terhenti lagi tadi. Seronok rasanya menerima panggilan dari Kak Wynn BKSP di KLCC. Serentak itu, Maria d'Malaysian Dreamer pula menghantar mesej melalui ruang sametime. Kak Wynn menyampaikan khabar yang beliau tidak dapat menunaikan hasrat untuk terbang ke sini minggu ini seperti yang telah dirancangkan sebelum ini. Tidak mengapa, kerana mungkin minggu depan Kak Wynn leh tiba ke sini. Berbual serba sedikit mengenai alam siber yang menjauh seketika.. internet & blogging! Banyak khabar teman-teman di KL yang sayup ditelan kabus LPT dan jerebu kota batu. Malah kerna itu, aku cuba menyempatkan diri menaip serba sedikit. Maria akan tiba ke Kuantan dua minggu lagi.. atas urusan kerja di syarikat ku ini juga. Seronoknya! Cuma.. Maaf buat Ina Shahrina , kerna tidak dapat bertemu apatah lagi menemankan beliau di Kijal malam tadi.

Apa yang terjadi sekian purnama ini?

Seberapa pantas waktu berlalu, sepantas itu semilir berlalu. Sejak selepas segenap umat menyambut hari raya Qurban, aku sendiri secara relanya banyak berkorban masa. Setiap minggu sejak itu, sehari dua pasti aku bertugas di luar daerah. Menghadiri latihan di Concorde, Performance Review di A'Famosa, mesyuarat di Renaissance, demam yang teruk sepanjang minggu CNY, latihan lagi di Sheraton, UKJK TOT di Kuantan, malah minggu lepas.. aku berada di Equatorial, Bangi bagi menyiapkan tugasan HSE Matrix. Sepatutnya saat ini, aku berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri latihan lagi tetapi pengurusku minta aku menunda demi tugasan-tugasan lain yang banyak tergendala (juga, kerna semua pengurus ke Port Dickson untuk Budget Launching FY05/06. Bagus juga aku berada di pejabat. Banyak perkara yang aku selesaikan. Tiba-tiba aku merindui suasana 6 bulan yang lalu ketika aku menjadi 'on-call exec' di KLCC. Heheh.. itulah manusia kan.. memang tidak pernah puas dengan apa yang ada.

Alhamdulillah. Apa yang aku lalui, hadapi dan kecapi selama ini masih mengingatkan aku akan kekuasaanNya dan kebesaranNya. Cuma aku masih manusia biasa, tidak pernah lepas melakukan salah dan silap. Menginsafi diri adalah yang memang dituntut. Yang terbaik aku usahakan, terserah padaNya menentukan.

Moga masih ada sinar yang menerangi perjalanan sementara ini.