Monday, February 26, 2007

Counter Strike? or Menembak Pistol?

** AWAS! Penulisan yang amat panjang! kikiki **


Hehe.. Peristiwa ini berlaku pada Sabtu lepas. Semuanya bermula dari masuk suka-suka. Yelah, kalau setakat pistol air atau pistol mercun ketip tu, memanglah pernah aku pegang dan guna. Ini menembak menggunakan pistol betul dan peluru hidup.

Kejohanan Menembak KSRP kali ke-2, tanggal 24hb Fembuari 2007, di Lapang Sasar, Maktab Penjara Malaysia, Kajang dianjurkan oleh KSRP; sebuah persatuan sukan di syarikat aku bekerja ini. Penganjuran kali ke-2 ini telah menarik penyertaan di kalangan ahli-ahli KSRP di sekitar Semenanjung Malaysia (utara, pantai timur, selatan. Sebanyak 90 orang peserta lelaki dan 12 peserta wanita telah mendaftar dan menghadirkan diri.

Rina ajak aku masuk untuk suka-suka dalam acara perseorangan atau lebih dikenali sebagai 'Certifier Shooting'. Pendaftaran sebanyak RM10 sahaja untuk satu kategori. Awalnya aku memang menolak sebab tak pernah berpengetahuan apatah lagi berpengalaman menembak pistol. Tapi atas dasar diri aku memang suka mencuba sesuatu yang baru, lebih-lebih lagi berteman, datang jugalah untuk acara tersebut.

Aku tidak pulang ke rumah aku di Ampang, sebaliknya terus ke Kota Damansara untuk bermalam di rumah Rina. Sebabnya awal pagi perlu berangkat bersama kerana Fariz, suami Rina ada latihan kayak di Putrajaya. Kami tiba agak lewat kerana tersesat, namun alhamdulillah acara belum lagi dimulakan walau sudah jam 8.00 pagi. Rancangan awal mereka, acara akan bermula se awal 7.30 pagi. Sekretariat membuat menyuarat tergempar kerana ada masalah teknikal berkenaan bekalan senjatapi yang akan digunakan. Lama juga menunggu, akhirnya tepat jam 10.30 pagi acara bermula dengan perasmian oleh Presiden KSRP dan pengumuman penangguhan acara perseorangan. Hanya 2 acara yang dipertandingan Sabtu itu iaitu Bergu Jatuhan Piring (LELAKI) dan FULL BULL(TERBUKA). Satu lagi kategori iaitu Perseorangan ditangguhkan ke hujung tahun diatas sebab-sebab teknikal tadi.

Maka, atas persetujuan bersama, aku dengan Rina bergabung menjadi satu pasukan bergu untuk memasuki acara jatuhan piring (atau lebih dikenali sebagai Falling Plate) dan Rina secara individu memasuki juga acara Full Bull dimana peserta dikehendaki menembak tepat di point merah dalam jarak 15 meter.

Majlis dimulakan dengan acara jatuhan piring dengan kategori lelaki dan wanita. Setiap bergu diberi 6 biji peluru (3 setiap seorang) bagi menjatuhkan 4 biji piring berwarna putih yang diletakkan dalam jarak 10 meter dari kawasan menembak (shooting point). Bergu aku bernama Wasabi, sempena nama pasukan yang sering Rina gunakan dalam sukan berpasukan. Syarat untuk menjadi pemenang, bergu mestilah menjatuhkan kesemua 4 piring dalam masa terpantas, masih berbaki peluru.

Yang mengejutkan semua orang termasuk kami berdua, apabila dari 35 bergu yang bertanding, hanya 4 bergu yang layak ke pusingan seterusnya (telah menjatuhkan kesemua 4 piring), dan salah satu dari 4 bergu itu adalah pasukan wanita-novis ..sapa lagi kalau buka bergu Ifa-Rina. Heheh.. Alhamdulillah. Memang mengejutkan. Malah jelas kelihatan di riak wajah peserta-peserta lelaki yang ada, bukan saja terkejut, bahkan terasa tercabar dan ego tak mahu dikalahkan oleh wanita! Pengumuman 4 bergu yang layak itu telah menambah pengaliran adrenalin yang menyemarakkan lagi semangat untuk terus bersaing.

Cabaran demi cabaran dibentangkan dan kami berdua terima dengan penuh semangat. Walaupun kami tak pernah memegang atau menggunakan pistol, setidak-tidaknya kini kami sudah tahu asas menggunakannya untuk menembak. 10 minit sebelum bermula sebenarnya, kami telah diberi penerangan penggunaan pistol jenis Glock-Semi Auto (gambar di sebelah kanan) dan jenis Revolver-Semi Auto (gambar di sebelah kiri-bawah). Bermula dari tatacara memegang senjatapi, cara memasukkan peluru, teknik fokus tembakan, alat keselamatan senjatapi dan perbezaan dua jenis senjatapi tersebut. Pada pusingan awal (jatuhan 4 piring), aku menggunakan revolvers, manakala Rina menggunakan Glock. Tembakan pertama dilepaskan di bawah pengawasan seorang pegawai lapang sasar yang memerhati di sebelah tepi kanan-belakang. Tembakan seterusnya kami dibiarkan mengawal dan menggunakannya seperti yang telah diterangkan. Ada dua-tiga kejadian yang perlu dijauhi tetapi tetap berlaku iaitu apabila pistol yang sudah berpeluru masih di genggaman tangan tetapi dihalakan selain dari target menembak (piring). Sepatutnya, apabila kita tidak menembak atau selepas menembak, senjatapi haruslah terus diletakkan di meja point bukan dihalakan tak tentu hala. Alhamdulillah tiada kejadian yang tak diingini berlaku.

Pusingan separuh akhir dibuat untuk menentukan bergu yang akan ke pusingan akhir bagi merebut Johan, Naib Johan, Ke-3 dan Ke-4. Oleh kerana kami satu-satunya bergu wanita, maka kami kategori wanita dibatalkan dan kami terpaksa bersaing dalam kategori lelaki. Kali ini, setiap pasukan dikehendaki menjatuhkan 10 piring putih dengan bekalan 20 butir peluru bagi setiap bergu. Kedua-dua peserta perlu menggunakan pistol glock kerana revolver sedang digunakan bagi pertangingan Full Bull yang diadakan serentak dengan pusingan ke-2 itu. Seperti pusingan awal, sekirangan jatuhan piring sama, kedudukan akan ditentukan dengan rekod masa yang diambil dan baki peluru. Pasukan pertama - ke 3 adalah lelaki dimana jatuhan piring masing-masing seperti berikut ; Blitz (10 - baki 10 peluru), Mustang (4 - tiada baki) dan Pokok (7 - tiada baki). Pasukan kami, Wasabi yang terakhir dan sekali lagi tanpa disangka oleh semua (aku ngan Rina pun terkejut sebenarnya) pabila kami menjatuhkan 10 piring dengan berbaki 9 biji peluru. Rasa amat teruja dengan kemenangan awal mengalahkan 2 pasukan lelaki, rasa semangat juga semakin membara bila melihat wajah-wajah lelaki yang bagai mencabar kami (tak termasuk suara-suara mengusik-sindiran sinis).

Maka, sebaik tamat pusingan ke-2, penganjur meneruskan pusingan akhir cabaran meraih tempat ke-3 dan ke-4 antara pasukan Mustang dan Pokok. Kali ini, masih 10 piring tetapi hanya 9 piring putih dan 1 piring merah (yang dikenali sebagai lesen). Bergu mesti menjatuhkan piring merah terlebih dahulu sebelum menjatuhkan piring putih. Peserta juga tidak dibenarkan bergerak dari posisi menembak yang telah diambil. Hanya pergerakan tangan dan pusingan badan-atas-pinggang saja yang dibenarkan. Walaubagaimanapun, memang terbukti bahawa pasukan Pokok lebih mahir dan memangi tempat ke-3, manakala pasukan Mustang di tempat ke-4.

Sepatutnya cabaran diteruskan tetapi pihak penganjur merehatkan sementara untuk menumpukan kepada acara Full Bull, selain menjadikan pusingan akhir jatuhan piring sebagai acara kemuncak. Sempat juga Rina menyudahkan penyertaannya bagi Full Bull dan berkesempatan untuk menimba pengalaman menggunakan revolver. Cuma sayang, masih belum rezeki. Tembakan cuma mengena mata 9 dalam bulatan hitam.

Bila masa kemuncak tiba, debaran semakin hebat dan pihak lawan sudah menambah tekanan mental. Mana tidaknya, lawan kami bukan calang-calang orang, mereka yang memang terlatih dan mahir mengguna senjata. Malah merupakan 'polis' di syarikat kami. Walau peserta lelaki yang lain mengusik peserta dari kumpulan Blitz, tapi sedikit sebanyak sebenarnya terganggu juga fokus kami. Apatah lagi format ditukar sedikit bagi menyemarakkan lagi acara. Kalau pinggan disusun lurus sebelumnya, kali ini disusun turun-naik. Masih mengekalkan lesen pinggan merah, cuma kali ini kami bersaing serentak di dua buah lapang sasar yang bersebelahan. Setiap pasukan bertanding di kedua-dua lapang sasar. Sekali lagi catatan masa terpantas menghabiskan pinggan akan menentukan pemenang setiap gelanggang. Pusingan pertama, kedua2 pasukan berjaya menjatuhkan 10 pinggan tetapi sayang Blitz menang catatan masa. Pusingan kedua, peringkat 4 piring pertama kami seakan seri masa, tetapi mungkin atas kekurangan pengalaman, tekanan, kehilangan fokus dan genggaman (atau istilah polis; ramasan) pistol yang kurang kemas (dah menggeletar tau sebenarnya), maka kami akur hanya layak mendapat Naib Johan Bergu Jatuhan Piring (Lelaki). Walaupun habis 20 biji peluru, kami hanya mampu menjatuhkan 7 piring.

Yang pasti menjadi kenangan, inilah pertama kali memegang senjatapi dan menembak, mampu terus berada tempat ke-2 teratas, lebih-lebih lagi bersaing di kalangan lelaki. Sebagai kenangan, kami mendapat plak ini dan baucer beli-belah RM60. Johan mendapat plak kenangan dan baucer RM100. Juara Full Bull dimenangi oleh seorang peserta lelaki dengan wang kemenangan RM700. Dia berjaya menembak tepat mata 10, merah itu sebanyak dua kali.

Pengajarannya, kita tak mungkin tahu kebolehan kita selagi kita tidak mencabar diri kita untuk berani mencuba.

Setidak-tidaknya, walaupun aku tak mahir bermain game Counter Strike, boleh tahan juga aku memegang senjata yang betul. *wink*wink* buat geng "OPI bilik belakang FY2006/07". Rindu nak dengar korang menjerit masa main games dan teringat kenangan Molly muntah pertama kali main Counter Strike di meja Hema.

p/s: Geng, bila daa mau main 'tembak-peluru/bola-berwarna'

Labels:

Friday, February 23, 2007

hal kerja

Dari hari ke sehari tak disempatkan untuk menjengah ke laman ini. Hari ini dicuri-curi juga waktu walau tiada senggang.

Sejak tarikh, waktu luang ku banyak dihabiskan dengan menyiapkan kerja-kerja meneliti data-data pekerja di syarikat aku bekerja ini. Semuanya semata-mata untukmemberi penambahan imbuhan gaji/elaun yang mesti dibayar pada bulan Januari lalu dan beberapa imbuhan lagi pada bulan Mac nanti. Bayangkan melihat data pekerja tetap syarikat yang menjangkau ke angka 10 ribu dalam lebih 15 lajur data setiap seorang. Apapun, alhamdulillah yang bulan Januari dah selamat siap. Sekarang ni, banyak tengok data dan buat analisis. Yang agak memenatkan bila ada sesi komunikasi dengan pekerja yang meliputi seluruh Malaysia. Banyak juga la aku terbang ke sana-ke mari.

Kalau nak cerita pasal kerja, sampai bila pun tak habis.

Aku nak ucapkan TAHNIAH pada ibu muda, Lolyta (10.2.2007) dan Ilin (21.2.2007) yang masing-masing baru melahirkan anak sulung mereka. Anak lelaki dan anak perempuan. Belum berkesempatan nak melawat.

Akhir Januari lepas sempat juga aku menghadirkan diri ke Kuantan, di syarikat yang aku bekerja dulu. Jumpa kawan-kawan lama dan sama-sama meraikan perpindahan beberapa kawan lain yang akan ke Kerteh dan Kuala Lumpur. Majlis perpisahan tersebut akhirnya macam perhimpunan semula warga kerja OPI. Seronok! (*walaupun ada juga seketika hati dirundung rasa kecewa atas perbincangan aku dengan pengurus aku dulu)

Tak lama lepas kembali ke KL selepas itu, aku sempat-sempatkan juga untuk mencuci rumah yang dah aku sewa ni. Ya Allah, punyalah kotor rumah tu sehinggakan 3 botol pencuci habis digunakan. Dari Zip ke Cip ke Vip .. Fabuloso ke Dettol... Macam rumah tinggal dah 5 tahun. Padahal baru 5 hari je kosong. Aku menyewa rumah teres 2 tingkat yang mempunyai 4 bilik tidur dan 3 bilik air. Setinggi-tinggi terima kasih yang tak terhingga untuk salah seorang kawan baik aku yang membantu dengan sabar dan tekun. Ta, terima kasih daun keladi.

Dua hari sebelum cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini, aku ke Kuantan untuk perpindahan barang-barang rumah ke rumah sewa aku di Kuala Lumpur ini. Dan alhamdulillah pada hari Isnin yang lalu, aku dah ada teman serumah sebab aku sewakan salah satu bilik di rumah aku tu.

Hmm.. alamak.. nak siapkan kerja.