Sunday, September 19, 2004

Wajah Ibu

Jumaat lepas, aku tiba agak awal juga dari biasa walaupun aku sempat bersama Dxit, Fashah dan Aish minum teh tarik di warung tingkat 4. Setibanya aku di rumah, tanpa sempat aku mematikan enjin kereta, wajah sayu ibu sudah menyapa di muka pintu. Dari wajahnya, aku tahu yang ibu mahu aku menghantarnya ke rumah seorang teman. Walau agak letih memandu dari KLCC ke Klang yang memang tak pernah kalah sesaknya, aku turutkan juga. Jauh tak jauh, dekat tak dekat juga rumah kawan ibu itu. Aku hanya menanti dalam kereta kerana ibu suruh lagipun aku rasa letih sampai sempat juga terlena beberapa minit. Lepas itu, aku menemani ibu ke pasar malam di kampungku. Ayah menginginkan jantung pisang rebus untuk di makan siang esok. Membeli beberapa barang dapur yang telah kehabisan dan tidak ketinggalan aku sempat singgah menjenguk Mak Dah (mak angkat) aku di rumahnya yang berhampiran dengan pasar malam.

Aku membersihkan diri dan solat di kala hari sudah hampir berganti hari. Hasrat untuk terus tidur terbantut bila melihat wajah sayu ibu lagi. Aku menjenguk ke dapur melihat masakan ibu petang Jumaat itu. Bila melihat aku mula mengambil pinggan dan menceduk nasi yang telah diperangat dalam periuk elektrik dan di campur dengan sedikit lauk lemak nangka, wajah ibu manis kembali. Sambil aku makan, ibu bercerita macam-macam. Aku senyum... terbantut la hasrat ku untuk tidak makan di tengah malam.. heheh.. tak mengapa asal ibu senang hati.

Sabtu yang menunjukkan diri semalam, hanya berkisar dengan wajah ibu juga. Wajah yang sudah semakin tua, yang menyimpan berjuta kisah suka duka 57 tahun yang dilaluinya. Entahlah. Aku senang kalah dengan rasa tatkala menatap wajah kesayanganku itu. Seorang ibu pada 7 orang anaknya yang mempunyai kisah masing-masing yang selalu menguji kesabaran dan ketabahannya. Wajah seorang ibu yang juga anak saudara kepada Mbah (nenek) ku yang telah membelanya sejak kelahirannya di dunia setelah pemergian bondanya tercinta, wajah yang sentiasa sabar melayani Mbahku yang sudah hampir 100 tahun usia dan terbatas penglihatannya. Itu belum lagi ditambah dengan wajah ibu tatkala menatapi wajah ayahku, suami yang telah menikahinya 33 tahun yang lalu. Arghh!... bergenang airmataku.

Demi wajah itu, hujung minggu ku kali ini aku peruntukkan buatnya. Sejak Sabtu pagi, aku sudah membantunya, membersihkan laman belakang yang sudah tinggi semaknya. Tidak sampai hati aku membiarkan ibu berseorangan terconggeng-conggeng mencabut pokok-pokok renek setinggi betis yang sudah melata. Sambil tangan masing-masing ligat bekerja, mulut juga tak henti bercerita. Berbual-bual dengan ibu lagi.. bercerita tentang macam-macam lagi. Aku menadah telinga saja. Mendengar cerita ibu, membuatkan aku bersyukur dengan kejadianku di dunia ini.. jika aku tiada, pada siapa ibu bercerita ye? Syukur Ya Allah!!

Kisah Sabtu masih bersambung ke petang hari bila aku melihat ibu sudah terbaring penat. Sempat juga ku picit-picitkan kakinya sambil aku bertanya macam-macam. Tapi bila ibu diam, aku pun tidak mahu mengganggu tidurnya. Aku kembali berehat juga. Sejam kemudian ibu mengajak aku menyediakan makan malam. Aku membantu ibu memasak asam rebus batang keladi. Sememangnya masakan air tangan ibu juga yang sedap. Senyum ibu meleret bila aku makan bertambah. Hehhe.. makin berisi la anakandanya ni. Panggilan telefon Kak Irene petang itu yang ingin mengajakku menonton Dejavu juga ku tolak lembut (walaupun aku sendiri memang sudha lama menginginkannya), semata-mata kerna wajah seorang ibu ku. Lepas Maghrib aku dikejutkan lagi dengan panggilan telefon dari Nd, aku terlupa untuk ke kelas mengaji di Masjid Bukit Aman malam itu. Hmm.. maafkan ifa ye, Nd! Kelas petang Senin esok ifa pergi!

Pagi tadi selepas solat Subuh, hasrat untuk membawa ibu ke pasar borong di Meru ku batalkan kerana ku dengar suara ibu khusyuk mengaji. Aku isikan masa dengan mengemas bilik ku yang makin bersepah. Bila hari sudah cerah, aku bersiap dan menjenguk ibu di laman belakang, katanya ingin mengemaskan enau yang melingkar di pokok-pokok tebu yang tumbuh bersimpang-siur itu. Bila aku mengajaknya ke pasar pagi Ahad yang ada di kampungku, pantas saja ibu terus menyarungkan kain tudungnya. Lama juga aku tak bersama ibu ke pasar pagi. Seronok bila berjalan berdua bersama ibu... mengingatkan aku entah sampai bila boleh aku begitu bersamanya. Kami singgah ke gerai Uncle Apek, seorang penjual barang-barang kering seperti bawang, kentang dan bilis, yang telah meniaga di pasar malam/pagi sejak aku masih kecil lagi. Kini, anak Uncle Apek pun sudah seusia aku, malah kini anak beliau pula sudah mula menjual ikan-ikan segar. Aku hanya tersenyum bila Uncle Apek menanyakan bila aku nak ajak dia makan kenduri. Ibu membeli ikan gelama, ikan sardin dan sotong. Kawan ibu yang menjual ayam memberi hampir 4 kilo kaki dan kepala ayam. Pulang ke rumah terus masuk ke dapur kerana ikan/sotong/kaki ayam perlu disiang. Hasrat ibu untuk meneruskan kerjanya terhenti kerana hari hujan.

Sebentar tadi.. aku meneman ibu dan ayah menonton TV. Sambil itu, aku dan ibu melayan ayah berbual-bual. Bahagia bila bersama mereka berdua, tapi mengapa adik-beradikku yang lain sering tidak begitu mengendahkan mereka?

Saat ini, aku mampu tersenyum sendiri... tersenyum mengingatkan senyuman ayah dan ibu yang kegelian hati bila melayan kerenahku tadi, yang sibuk usik-mengusik mereka. Ku tinggalkan ibu dan ayah yang masih berbual di luar dengan hangat ciuman hormat di tangan mereka berdua dan pipi mereka. "Rabbana 'aatina fiddunya hasanah wafil aakhirati hasanah waqina 'azabannar.. amin "

Moga wajah ibu tua ku itu.. tetap segar dan tersenyum manis selalu.

ifaalyana : Ibu.. ifa sayang ibu!.. ayah juga!

4 Comments:

Blogger Ifa Alyana said...

Salam Ain..

Thx sudi baca coretan ifa.

Hehehe.. mesti Ain rindu masakan mak Ain kan. Takpe tinggal beberapa bulan saja nanti Ain akan kembali. Apapun, ifa bangga juga dengan Ain, dapat juga ubah tabiat makan mak Ain tu.. elok juga untuk kesihatan beliau.

:)

2:20 PM  
Blogger iwan c.m.n. said...

Dah lama air mata saya tak bergenang. Posting ini dah berjaya membuatkannya :-(

10:19 PM  
Blogger Ifa Alyana said...

Salam buat Asbab...

Terima kasih sudi singgah ke Atmasari, membaca dan berkongsi rasa..

Ifa doakan, moga ibu Asbab sentiasa sihat dan selamat dibawah lindunganNya.aminn..

8:31 AM  
Anonymous Anonymous said...

Wonderful and informative web site. I used information from that site its great. gay irish boys Birth control pill and weight gain in women Web development contractors Voyeur bondage pictures debbie in bondage Circuit breakers general electric two for one sale on hp ink cartridges rx buspar Domain registrar reviews Free free best fioricet online Rare adult female cancers

11:05 AM  

Post a Comment

<< Home