Thursday, September 16, 2004

Ayah Di Dapur

Tiba-tiba jari nih lancar saja menaip, selepas membaca cerita Bob DCCR pasal Daun Kesum, yang juga membawa ke cerita arwah adiknya, laksa penang, anak daranya Ayu dan beberapa nasihat yang mencelikkan mata hati yang mengantuk. Lebih molek kalau kisah Bob ini dibaca sendiri, bak umpama untuk kita tahu sedapnya kuah laksa mana kan sama dengan dihirup oleh mulut orang lain.

Bertuah rasanya Ayu kerana mempunyai ayah yang tahu masak-memasak. Aku pun berbangga mempunyai seorang ayah yang walau tak semahir Bob, tapi sudi berkongsi ilmu dan mengajarkan anak daranya ini memasak. Ayah aku seorang yang simple dan tak banyak kerenah sangat serta amat penyabar orangnya. Selalunya memang ibu aku yang masak-memasak. Walaupun ibu yang selalu masak, aku memang dimestikan membantu sejak aku kecil lagi, lebih-lebih lagi bila aku adalah anak perempuan pertama dan waktu itu memang aku satu-satunya anak perempuan mereka. Adik perempuanku hanya hadir selepas 9 tahun aku dilahirkan.

Ayah aku ringan tulang membantu ibu menjerang air, mencuci pinggan yang digunakannya dan juga membelikan bahan-bahan masakan di pasar basah di bandar Klang. Pada dirinya, apalah nilai seorang lelaki jika tidak mampu menyenangkan hati isteri sendiri. Cuma memang kelihatan ayah agak kekok bila tiba bab dapur. Mana tidaknya, ayah anak sulung dalam keluarganya dan telah merantau sejak usia muda, maka amat jarang mempunyai masa membantu nenekku di dapur.

Teringat aku pada ketika ayah mengajar aku memasak. Resepi mudah dan menjadi kegemaran adik-adikku dan sahabat karibku Nd.. Ikan Sardin Masak Tumis. Waktu itu, ibu masih dalam pantang setelah melahirkan adikku yang ke-6. Ayah sudah menanak nasi dan menjerang air tatkala aku baru pulang dari sekolah rendah. Selepas melucutkan pakaian sekolah dan menyarungkan pakaian harian rumahku, aku terus masuk ke dapur kerana berasa amat lapar. Aku lihat ada satu tin besar ikan sardin bersos tomato telah siap dibuka. Di atas papan pemotong telah siap hirisan bawang merah, bawang putih, sedikit halia dan cili hijau/merah. Juga, terdapat segeluk air asam jawa di atas meja. Bila aku tanya, ayah cuma menjawab,
"Hari ni, ayah ajar kakak masak ikan sardin dari dalam tin. Ini aje antara masakan yang ayah tahu dan senang di masak tapi juga sedap dimakan. Kakak tengok dulu, lain kali kakak buatlah sendiri".

Jadi, aku pun berdua-duaan dengan ayah di dapur. Bukan apa, aku melihat dan membantu menghulurkan apa saja bahan yang dipinta oleh ayah. Mula-mula ayah tenggekkan kuali di atas dapur dan dibubuh sedikit minyak masak. Setelah agak panas, ayah tumiskan halia, bawang putih, bawang merah dan cili, yang sesemuanya ayah masukkan satu persatu setelah masing-masing naik bau. Selepas itu, ayah masukkan kuah sos dari dalam tin sardin dan ditambah sedikit sos cili sebagai perasa. Bila kuah dah mula mereneh, ayah masukkan pula ikan sardin tersebut dan ditambah pula dengan segeluk air asam jawa yang telah diasingkan hampas dan bijinya sebagai penghilang rasa hanyir. Bila makin kuat kuah merenih, ayah masukkan pula sedikit garam dan secubit gula. Setelah digaul sekali-sekala, ayah tambahkan bawang merah yang telah dimayang kasar supaya rasa lauk itu lebih manis. Bila layu saja bawang merah tadi, ayah pun menutup api dapur gas dan aku lah yang menyenduk lauk dari kuali ke dalam mangkuk untuk dihidangkan.

Kami makan lauk sardin tumis itu bersama nasi panas dan ditemankan dengan sambal belacan serta ulam-ulaman seperti daun selom, daun pegaga dan kacang botol. Dapat pula ayah yang menyediakan teh 'o panas. Berpeluh-peluh kami makan dan masih ingat lagi ayah tersenyum bila aku sendukkan nasi tambah ke pinggannya.

Aku hanya mempraktikkan ilmu masakan ayah ini buat pertama kalinya tatkala aku ditinggalkan keseorangan di rumah, sewaktu seluruh keluargaku ke Indonesia menziarahi datuk dan mbah putri pada usiaku 15 tahun. Dan di saat itulah, aku baru mula cuba untuk memasak di dapur.


Paling aku suka masakan air tangan ayah adalah bila beliau menanak nasi. Hingga ke hari ini, kalau ayah yang menanak nasi, memang bertambahlah aku makan. Kalau dulu hanya ditanak di atas dapur hinggalah sekarang ditanak menggunakan 'rice cooker'. Manakala pernah juga beberapa kali aku masakkan masakan sardin ini di waktu malam selepas aku tiba dari pejabat. Selalunya bila ayah mengadu masih lapar dan lauk yang ibu masak telah habis. Aku memilih resepi ini kerana ia memang cepat, mudah dan sedap. Kadang kala aku pelbagaikan dengan mencampurkan kentang goreng yang dipotong dadu beserta beberapa sudu kicap manis cap kipas udang.

Seronok bila mengingatkan kembali memori itu. Itulah kali pertama dan terakhir aku belajar memasak dengan ayahku. Alhamdulillah ayah masih ada bersamaku walaupun kesihatannya agak menurun. Semoga umurnya dipanjangkanNya dan aku boleh berbakti lagi pada ayah. Amin..

Kalau dulu-dulu, pernah suatu waktu aku membenci ayah, tapi kini sayangku padanya semakin melaut. Siapalah aku tanpa dirinya. Di usianya yang semakin senja aku doakan moga ayah berbahagia menjalani kehidupan bersama aku.

Pada mereka yang telah kehilangan ayah, jangan bersedih, senyumlah kerana Allah lebih menyayangi ayah kalian. Selalulah mendokan ibubapa kita dalam setiap solat terutama selepas wirid dan zikir. Sesungguhnya hanya itu bekalan penyuluh hidup mereka di alam barzakh (selain harta yang berguna, ilmu yg bermanfaat) dan pastinya mereka akan tersenyum dan berbangga memiliki doa anak-anak yang soleh/solehah.

ifaalyana :
>>> Teringat memori ikan sardin di bulan puasa semasa di universiti dulu. Aku tinggal sebilik dengan Nd, kami bersahur berlaukkan sardin. Nd makan sahur sambil tutup mata dan selesai makan sambung balik tidurnya. Bila azan Subuh berkumandang, Nd terus melompat dari katil sambil menggosok mata dan marah+sedih mengatakan yang aku tak mengejutkan dia bersahur. Padahal, bukan setakat dia dah bersahur, malah bertambah nasi hingga dua pinggan.. hehehe.. itulah penangan masa puasa. Lain kali, makan jangan tutup mata ye!.
>>> Hari ini dah 1 Sya'ban 1425H, dah habis ganti puasa Ramadan 1424H?

3 Comments:

Anonymous Anonymous said...

bila ko nak masak utk aku ar ekek ekek ekek .....baulu

4:42 PM  
Anonymous Anonymous said...

isk lapor la pulak baca pasal masak sardin nie... mmm memang sedap lagi² plak bila makan dgn nasik panas dgn ada terlur dadar plak tuh... hmm nyam²

nonie

5:54 PM  
Blogger Ifa Alyana said...

Baulu >> bila2 pun muleh.. especially bila ko ada umah sendirik karang.. hehehe..

Nonie>> hehehe.. sedapkan ! nonie ada blog?

9:14 AM  

Post a Comment

<< Home