Monday, October 25, 2004

Kisah 2 Minggu Sudah

09:00 pagi 25 Oktober

Hari ini Ifa masih di rumah ayahbonda di Padang Jawa. Ya, Ifa bercuti kerana seluruh Pahang bercuti hari ini (25/10) meraikan ulangtahun kelahiran Sultan Pahang. Ifa tiba di PJ sejak malam Jumaat (22/10) lepas. Memandu kereta kesayangan dari Kuantan selepas tamat bekerja dan ditemani dengan rakan serumah (juga rakan sekerja), Molly yang ingin bercuti bersama teman rumah sewa lamanya di Desa Pandan.

Ifa tahu ramai yang menanti kisah Ifa di Kuantan. Maaf lah ye kerana menunggu sebegini lama. Pernah juga cuba menulis dari pejabat seminggu lepas, Isnin (18/10) di saat hari jadi Kak Wynn BlackKembara, namun atas beberapa kekangan, semuanya tak terlaksana. Juga terimakasih pada Bob DCCR yang menujukan sebuah puisi indah khas buat tatapan Ifa yang jauh. Sungguh syahdu dah luhur ifa rasakan. Ifa sempat juga membalas puisi itu tapi tertinggal pula di dalam harddisk komputer di pejabat Gebeng.

Hadir & Berlalu
dedikasi buat Bob DCCR

3 tahun lalu
aku hadir tanpa undanganmu
senyuman ramahmu menyambutku
di kala dirimu sendiri baru di situ
silaturrahim terikat
kemesraan tersurat
persaudaraan tersirat
ya.. kita bersahabat

dalam detik jantung waktu
masa tetap berlalu
menyimpan segala suka duka
senyum cebek bersama
bercanda, berdiskusi juga bercerita
bukan setakat denganmu
malah sesiapa jua ku temu

tanpa pinta
aku harus berlalu
membiarkan daerah pilihanku
kembar petronas di kota batu
diamnya insan luhur sepertimu
tetap teguh kukuh
menopang imad hayatmu
demi keluarga dan anak-anak

aku tetap harus berlalu
menongkah arus waktu
berpandu pengalaman dan ilmu
yang sempat kutimba bersama kamu
meneruskan perjalanan hidupku

Rabu itu aku berlalu
walau kaki ini longlai lesu
namun di ingatan tetap terukir padu
memoir bersama lautan kasih nasihat
menjadi semangat pelayaran baru

di saat keserasian ruang baru
akan tetap ku cari waktu
menjenguk Di Celah-Celah Renunganmu
penawar rindu mengubat sendu
kisah teman sekerja..
seorang sahabatku
malah juga seorang ayah buatku..

Terima kasih ..!
Moga Allah mengabulkan segala doamu.

hadir dan berlalu..
bak malam berganti siang
bak ombak menghempas pantai
bak pelangi selepas hujan siang
namun,
biar aku jadi bayu yang berpuput lembut
hadir nya nyaman dan berlalu dirindu

Alifaly *Gebeng*
18 Oktober 2004


Apa ya yang nak diceritakan. 2 minggu kira lama juga kan. Banyak yang ifa dah tak ingat kerana sibuk mengingati kerja-kerja pejabat yang semakin banyak menimbun.

Rumah Di Kuantan

Alhamdulillah. Rumah sewa Ifa terletak tidak jauh dari bandar dan juga tempat kerja. Rumah teres setingkat ‘corner lot’, muat 2 kereta Wira ‘parking’ di ‘porch’. Sekali lagi ifa nak ucapkan terima kasih pada Kak Ira, Abg Nubli, Molly dan Baulu, serta sepastinya sahabat baikku, Bilis dalam membantu menyelesaikan hal rumah sewa pada 2/10 yang lalu.

Ifa mengambil bilik utama yang besar sungguh rasanya. Manakala Molly mengambil bilik kedua dan bilik ketiga masih kosong. Kami mencari juga rakan serumah wanita muslim bujang yang tinggal di Kuantan untuk berkongsi rumah sewa yang sama. Jadi jika ada yang berminat boleh hubungi Ifa di ifaalyana(at)yahoo(dot)com.

Rumah ini hanya kira-kira 5 minit dari bandar Kuantan dan dalam 10-15 minit jika mahu ke Gebeng. Dari bandar Kuantan, hanya perlu melalui Jalan Beserah menuju ke Pelabuhan Kuantan dan sebelum tiba di Beserah, masuk ke kawasan Perkampungan Pelindung. Taman perumahan yang Ifa diami ini hanya 700m dari jalan besar dan hanya 100m untuk tiba di pantai Pelindung. Malah kalau ifa buka pintu rumah.. di kejauhan akan kelihatan air Laut Cina Selatan yang menghijau. Perabot rumah juga sudah hampir lengkap setelah kami berdua sama-sama membelinya sikit-sikit cuma sekarang perlu beli mesin basuh. Insyaallah minggu ini, peti sejuk, dapur memasak dan gas memasak akan tiba dr Paka atas sumbangan kawan Molly.

Hingga hari ini rumah kami masih belum mendapat siaran televisyen kerana tiada arial, namun kami sudah bersetuju untuk memasang Astro sahaja. Talian telefon juga belum berfungsi kerana kami belum memohon lagi. Nasib lah kerana tidak dapat memasang Streamyx gara-gara tiada tiang telefon di kawasan perumahan ini. Terpaksalah nanti kami melanggan servis telefon tanpa wayar (wireless) dan menggunakan TMNet dial-up 1515 sahaja. Moga-moga berjaya ditunaikan Sabtu ini kelak. Yelah, nak pasang/beli apa-apa, kena tunggu gaji juga kan.

Lipas Vs Lipan

Sebenarnya perkara ini terjadi pada minggu pertama ifa menduduki rumah sewa Kuantan secara rasmi Ahad 11/10 lalu. Ifa berpindah ke Kuantan hanya membawa pakaian, buku-buku dan beberapa kelengkapan kebersihan diri (toiletries). Maka seminggu sebelumnya di saat kami selesai mencuci rumah, kami sempat membeli sebuah almari plastik berlaci 6 untuk menyimpan pakaian sementara Ifa mendapatkan almari baju yang lebih elok selepas gaji masuk. Dan pada minggu pertama itu, Ifa hanya tidur beralaskan ‘bed quilt’ aka Toto/Narita yang Ifa perolehi sebagai hadiah sempena Hari Keluarga Department lama di Desa Lagoon, Port Dickson 2 tahun sudah. Ifa tak kisah katil atau tilam kerana di rumah juga Ifa menggunakan cara yang sama kerana ruang rumah yang terbatas dan didiami oleh 10 orang ahli keluarga yang semakin dewasa dan masih belum bekeluarga.

Alkisahnya, pada Isnin 12/10, ifa terjaga dari tidur pada jam 3.45 pagi Selasa kerana jari manis digigit lipas. (Kenapalah jari manis kan.. basib x hilang.. karang susah bakal suami nak menyarung cincin..hihi) Hairan juga mana datangnya lipas tersebut tapi nasib lipas itu malang kerana dibunuh oleh saya. Hehehe. Tak pernah-pernah digigit lipas, kena juga akhirnya. Nasib baik Ifa bukan penggeli pada lipas atau cicak atau katak. Ingatkan hanya seekor lipas sahaja yang masih terlepas, rupa-rupanya banyak lagi. Padahal sewaktu kamimembersihkan rumah, kami sudah berkali-kali pastikan segala sarang-sarang lipas di lubang-lubang lantai bekas getah karpet. Puas mencari punca di mana semua lipas itu bermukim, rupa-rupanya berpunca dari almari plastik yang baru dibeli seminggu sudah. Hari Selasa 13.10, matilah semua lipas dan anak-anaknya dek penangan Mortein Knockdown for Cockroaches. Terpaksalah semua baju yg dalam lemari tu ifa hantar ke dobi kerana bau lipas yang cukup menyiksakan. Ifa masih ingat lagi hampir 50 ekor semuanya yang besar-besar pula tu.

Selasa malam Rabu dilalui dengan aman dan diharapkan tidur ifa lena hingga ke pagi. Sayang seribu kali sayang, lipas selesai lain pula yang menyerang. Sapa sangka, Ifa terjaga tepat jam 1.45 pagi Rabu bila terasa gigitan sesuatu di tepi lutut kiri bagai berbisa. Sebelum melihat jam di telefon bimbit, pantas tangan kiri Ifa menepis ‘benda’ yang menggigit. Mula-mula seperti tidak ingin memperdulikan apa gerangan yang mengigit, namun setelah terdengar bunyi yang agak kuat seperti bunyi jam-tangan-besi-yang-jatuh-ke-lantai, mata terus menangkap binatang yang pantas merayap itu. Oh Tuhan!! LIPAN BARA! Panjang sejengkal lebih dan badannya sama besar dengan jari manis Ifa sepastinya dengan kakinya yang amat banyak dan panjang-panjang, seketika geli-geleman terasa di tengkuk. Tak teringat bekas gigitan, sebaliknya mata Ifa tak lepas memandang ke mana hala tuju si lipan, rupanya menyelinap ditepi almari plastik. Hati masih panas kerana tidur yang tertanggu pantas hilang geli dan muncul rasa ingin menyelamatkan diri. Teringat Mortein, terus ifa sembur di celah bucu almari dan dinding lantai. Pening agaknya si lipan, terus keluar mencari udara bersih, lantas sekali ketuk dengan tin penyembur, sempat lagi si lipan melarikan diri. Akhirnya si lipan terlentang mati tika hampir sampai ke bilik air. Ifa makamkan si lipan di mangkuk tandas dan di ‘flush’ supaya tak muncul lagi. Sebelum menyambung tidur, Ifa sapukan Minyak Gamat bagi menyembuh luka.

Rabu pagi, Ifa masih ke pejabat, seperti biasa tetapi menjelang petang badan sudah mula terasa lain. Pulang kerja terus ke Klinik di Balok, dapt satu suntikan dan pelbagai jenis ubat serta leteran doktor yang penyayang. 2 hari tak bekerja kerana cuti sakit. Alhamdulillah kini sudah sembuh dan bila menceritakan kisah ini semalma pada ibu, sempat ibu bertanya.. "kenapa kakak tak frame kan saja?". Heheh.. ibu bolah lah berkata begitu kerana anaknya sudah sihat , nasib tak cerita masa ia berlaku.. mau ibu tak lena tidur dibuatnya.

<10:05am>

Baru pulang dr Shah Alam dan kini hujan sedang turun dengan lebatnya. Nampaknya Ifa terpaksa berhenti menulis di sini dan doakan moga-moga talian telefon akan segera disambungkan ke rumah sewa Ifa di Kuantan.

Sampai jumpa lagi..

Salam manis, salam sayang buat semua teman-teman, kenalan yang singgah di laman ifa ini baik dari Petronas, RMKL, MalaysianBowlers, Relexjap, UPM, Kolej Sal, Bloggers, dan yang tak tersebut juga.

Jaga diri, Hiasi Peribadi..

Selamat Menambah Ibadah di bulan Ramadhan Al Mubarak.

Don't Misses ME Much, Ya!

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Ifa, ari ni kebetulan baru singgah ke blog Ifa ada citer baru..macam2 kan hidup di tempat baru. Seram, ngeri, lucu dsbnya bila baca citer tntg Lipas dan Lipan.Mesti tak dpt di lupa spjng hayat. Btw, lynn dah pindah 'rumah' http://noraz.tblog.com, ada ms jenguk2 la kesana. Akhir kalam, moga Ifa bahagia di tempat baru..dan mendapat ketenangan.

2:50 PM  

Post a Comment

<< Home